Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 25, 2014

PENGHUNI RUMAH RAKIT SELALU TERLIHAT BUAYA



ROMPIN – “Sebelum ini saya selalu lihat kelibat buaya berkenaan hanyut mengikut arus sungai dan kadang-kadang berada di seberang sungai sambil melihat ke arah rumah rakit namun tidak sangka ia bertindak menyerang adik saya.”

Begitulah reaksi seorang nelayan sungai, Babok Judak, 38, abang kepada mangsa serangan buaya, Ewa Judak, 34, yang parah di bahagian lutut kiri selepas digigit haiwan liar itu sejurus selesai mandi di atas rumah rakit dekat Sungai Rompin.

Babok berkata, dia turut berada di rumah rakit berkenaan dan mendengar jeritan Ewa meminta tolong dan minta dihulurkan tombak.

Pada petang hari kejadian katanya, dia terdengar jeritan Ewa meminta tolong dan turut meminta diberikan tombak tetapi dia hanya sempat mencapai pisau pemotong sayur dan dalam masa sama adik ipar Ewa, Kamis Hawa, 30, membantu menarik Ewa ke atas rakit.

“Saya bergegas keluar rumah tetapi melihat dia sudah terlepas daripada gigitan buaya selepas dibantu Kamis, lega adik saya terselamat daripada dibaham buaya,” katanya.

Menurut Babok, haiwan itu juga kerap dilihat berkeliaran di kawasan rumah rakit mereka pada waktu malam kerana apabila disuluh akan nampak cahaya matanya yang berwarna merah.

“Sebelum ini tidak timbul rasa takut tetapi selepas kejadian yang menimpa Ewa, kami gerun malah dua anak saya yang tinggal bersama di rumah rakit ini trauma dan mereka kelihatan takut melalui titi untuk pergi ke tebing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri, Khairiah Mohd Shariff berkata, jabatan tersebut sudah pun menghantar kakitangannya untuk membuat pemantauan di kawasan sungai tersebut bermula kelmarin selepas Adun Tioman, Datuk Johari Hussin membuat laporan.

Beliau berkata, penduduk di kawasan sungai tersebut mendakwa sering kali melihat reptilia ganas itu tetapi tidak pernah membuat sebarang laporan kepada Perhilitan.

"Memandangkan sungai merupakan habitat semulajadi bagi buaya, Perhilitan tidak akan memasang perangkap atau memindahkannya ke kawasan lain. Pihak kami hanya meletakkan papan tanda amaran tentang kehadiran buaya di kawasan itu dan meminta orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan tersebut termasuk memancing serta berenang," katanya ketika dihubungi semalam.

Khairiah berkata, Perhilitan juga akan menasihati mangsa serangan buaya itu (Ewa) untuk menuntut pampasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana tercedera akibat diserang haiwan liar.

Menurutnya, Perhilitan akan menemubual mangsa sedikit masa lagi bagi mendapatkan maklumat tentang saiz dan panjang reptilia yang menyerangnya.

Sinar Harian semalam melaporkan Ewa yang tinggal di rumah rakit di Sungai Rompin berhampiran Kampung Tebu Hitam nyaris maut selepas diserang seekor buaya sejurus selesai mandi.

Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.



0 comments:

share2