Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 25, 2014

GERAM TIADA TALIAN KOMUNIKASI





Tindakan syarikat telekomunikasi yang tidak mengendahkan aduan penduduk Kampung Kuala Keloi, dekat sini yang ketiadaan talian telekomunikasi menyebabkan penduduk semakin berang walaupun aduan telah dibuat menerusi Sinar Harian pada 21 Mei dan 6 Jun lalu.

Seorang penduduk, Mohamad Jabar, 37, berkata, masalah ketiadaan satu-satunya talian telekomunikasi di kampung itu telah berlarutan hampir dua bulan.

Menurutnya, kesulitan dihadapi penduduk berikutan ketiadaan talian telekomunikasi itu semakin meruncing sejak kejadian kemalangan pada 14 Jun lalu membabitkan kematian tiga remaja yang juga penduduk kampung berdekatan.

“Pada hari kejadian, kami tidak dapat hubungi ambulans dan polis dengan segera untuk melaporkan kejadian terbabit.

“Kami terpaksa cari kawasan yang ada talian untuk hubungi pihak berkuasa, bagaimanapun mereka lambat tiba memandangkan kami tidak dapat hubungi dengan kadar segera,” katanya.

Bukan itu sahaja malahan katanya, turut berlaku kesulitan di hospital kerana orang ramai tidak dapat memaklumkan kepada penduduk kampung yang menguruskan kubur supaya bersiap sedia membawa pulang jenazah.

Sementara itu, mantan Ketua Kampung Kuala Keloi, Jalaluddin Jaafar, 74, berkata, ketiadaan talian komunikasi menyukarkan penduduk kampung memaklumkan kejadian penting yang berlaku di kampung terbabit.

“Memang sukar sebab kami tidak dapat beritahu saudara mara jika ada kematian atau urusan menjemput kenduri kahwin dan sebagainya.

“Anak-anak kami yang berada di perantauan juga tidak dapat hubungi kami jika berlaku kecemasan atau mahu bertanya khabar, tambahan pula ramai penduduk kampung ini sudah tidak lagi menggunakan telefon rumah,” katanya.

Dalam pada itu, masalah tersebut turut mendatangkan kesulitan kepada kira-kira 400 penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Yol, dekat sini.

Seorang penduduk Kampung Orang Asli Sungai Yol, Mohd Din Mohd Sin, 41, berkata, tidak akan timbul isu mengenai ketiadaan talian ini jika masalah itu hanya memakan masa dua atau tiga hari.

“Setakat dua atau tiga hari kami boleh bersabar, ini sudah lebih dua bulan.

“Isu ini menyusahkan ramai pihak, misalnya peniaga tidak dapat menjalankan operasi perniagaan kerana tidak dapat menghubungi pemborong,” katanya.

Seorang kakitangan Felcra, di sini, Mohd Syaiful Mohd Zawawi, 25, berkata, urusan membabitkan penggunaan internet tidak dapat dilakukan dengan segera kerana ketiadaan talian komunikasi.

“Kami tidak dapat hubungi pekerja yang sedang menjalankan tugasan luar melainkan ketika waktu pejabat,” katanya.

Syaiful yang juga pengguna perkhidmatan bayaran bulanan talian telekomunikasi itu berkata, bil dibayar setiap bulan namun talian tidak dapat digunakan sekali gus mengakibatkan kerugian.

Sinar Harian menghubungi syarikat berkenaan kelmarin bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan dan dimaklumkan masalah akan diselesaikan dalam tempoh tiga hari bekerja.



0 comments:

share2