Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 3, 2014

FAHAMI KEPERLUAN KOMUNIKASI GLOBAL

Fahami keperluan komunikasi global



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Saya dengan rendah diri dan penuh syukur ke hadrat Allah SWT ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Universiti Teknologi MARA yang telah memberi penghormatan kepada saya dengan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat ini. Sebagai seorang yang menyanjung tinggi ilmu pengetahuan dan sumbangannya terhadap peradaban dan martabat kita, ijazah ini sungguh bermakna kepada saya. Saya menerimanya dengan rendah diri.

2. Hadirin yang dihormati sekalian, di kesempatan ini ingin saya berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai ilmu pengetahuan dan pendidikan, dua aspek pelajaran dan pembelajaran yang tidak mungkin dipisahkan. Ilmu merupakan kekuatan yang kita inginkan manakala pendidikan adalah proses yang meletakkan kita di kedudukan tersebut. Yang demikian, perbincangan mengenai ilmu tidak akan lengkap kalau kita tidak menyentuh prosesnya, iaitu pendidikan.

3. Sejak penubuhan Dewan Latihan RIDA pada tahun 1956, Maktab MARA, hasil Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama tahun 1965, hinggalah ke ITM yang dirasmikan pada tahun 1975, Universiti Teknologi MARA kini berkembang pesat dengan kampusnya di setiap pelusuk tanah air yang menampung lebih daripada 200,000 pelajar. Usaha ini berjaya mewujudkan jentera untuk mengangkat martabat anak bangsa dalam usaha menimba ilmu. Ia membekal modal insan yang merupakan potensi kepimpinan di bidang ekonomi, sosial dan politik.

4. Kegemilangan dan pencapaian ITM amat membanggakan. Saya masih ingat, terutamanya sewaktu saya masih dalam barisan kepimpinan kerajaan, betapa graduan ITM menjadi pilihan majikan. Keyakinan, sikap serta kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris meletakkan graduan ITM di tempat yang tinggi dan mampu bersaing, terutamanya bagi mengisi perjawatan di sektor swasta. Tidak hairanlah hari ini terdapat ramai graduan ITM menjadi peneraju industri. Semoga keadaan ini berterusan.

5. Hadirin yang dihormati sekalian, salah satu perkara yang menyerlahkan graduan UiTM daripada graduan lain ialah ketrampilan mereka dengan sokongan kemahiran mereka berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris. Ia merupakan bahasa perantaraan pelbagai bidang di serata dunia termasuklah bidang-bidang perdagangan dan perniagaan, teknologi dan internet, perubatan serta diplomasi. Ini bermakna penguasaannya dengan baik merupakan kelebihan kepada kita.

6. Maka itu usahlah kita berbalah mengenai isu bahasa. Tidak hilangnya identiti, budaya dan adat resam kita seandainya kita menguasai lebih banyak bahasa. Malah, penghayatan budaya dan adat resam kita akan lebih melangkaui, sekiranya masyarakat kita menguasai bahasa global ini. Kita tidak seharusnya membandingkan dengan zaman pra-internet kerana pada waktu itu, tidak ada keperluan untuk cepat bertindak dalam segala hal. Sebaliknya dalam era globalisasi dan dengan segala macam kemajuan teknologi terkini, kelambatan untuk kita mengetahui dan memproses maklumat serta memperoleh dan menghayati ilmu baru, akan meminggirkan kita.

7. Barang diingat bahawa penyelidik dan pakar dalam pelbagai bidang hari ini menulis hasil penemuan mereka dalam Bahasa Inggeris. Jikalau kita tidak menguasainya, kita akan ketinggalan. Kita juga perlu sedar bahawa persaingan sekarang bukan hanya sesama sendiri tetapi melibatkan persaingan daripada negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai lingua francanya. Yang demikian, kita semestinya meletakkan kepentingan kepada komunikasi global yang secara kebetulan berpaksikan kepada Bahasa Inggeris.

8. Hadirin yang dihormati sekalian, perbahasan mengenai ilmu seharusnya merangkumi penelitian sistem pendidikan kita. Dalam hal ini, saya pernah utarakan pandangan dan saranan agar sistem kita dilihat kembali secara menyeluruh tanpa sebarang prejudis agar ia dapat ditambah baik demi menepati keperluan semasa dan akan datang. Ia dibuat kerana terdapatnya kelemahan pada sistem pendidikan kita. Dua kelemahan tersebut telahpun mendapat perhatian dunia, iaitu:

Pada akhir Mac 2014, Bank Dunia melaporkan kebimbangan terhadap mutu pendidikan kita yang rendah.
Penilaian menggunakan International Standard (PISA, TIMSS) meletakkan kita di tahap yang rendah.

9. Adalah penting bagi kita menerima penilaian ini dengan terbuka. Dengan cara ini, proses penambahbaikan akan dapat kita laksanakan secepat mungkin dan dengan penuh komitmen. Penerimaan hakikat ini juga boleh melicinkan usaha kita memperbaiki falsafah, pelaksanaan, penyampaian serta penerimaan dan penghayatan sistem tersebut.

10. Hari ini sistem yang kita laksanakan tidak melahirkan insan berilmu yang mampu berfikir dengan berkesan dan cemerlang dalam keadaan yang berbagai, tidak menentu, mencabar dan cepat berubah. Saya masih ingat satu waktu dahulu bilamana kita dihormati dan disanjungi oleh masyarakat dunia. Di forum antarabangsa, kita sering diberi penghormatan untuk menyediakan “laporan perbincangan”, “kenyataan kesepakatan (communiqué)”, menjadi pemudahcara (moderator) dan sebagainya. Hal ini terjadi kerana, secara relatif, kemampuan berfikir dan penguasaan bahasa kita adalah lebih baik. Malangnya keadaan berbeza sekali sekarang.

11. Hadirin yang dihormati sekalian, sistem pendidikan sepatutnya menyumbang kepada keutuhan integrasi kaum. Tetapi dewasa ini polarisasi antara kaum adalah pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan. Sebagai orang lama yang telah menyaksikan pahit getir perjalanan panjang Malaysia, saya sangat sedih dengan apa yang berlaku. Sebagai perbandingan, saya masih ingat apabila Wong Peng Soon yang mewakili kita memenangi Kejuaraan Badminton All-England pada tahun 1950, 1951 dan tahun seterussnya, semua kanak-kanak yang bermain badminton, tidak kira apa keturunan, menggelar diri mereka sebagai ‘Wong Peng Soon’. Tetapi hari ini, polarisasi kaum menghantui kita. Paling menyedihkan, polarisasi ini juga wujud di institusi pengajian tinggi di mana masyarakatnya terpelajar.

12. Marilah kita renung sejenak dan hayati keadaan di Korea Selatan yang pernah menjadikan kita sebagai kayu pengukur mereka di dalam berbagai aspek, termasuklah bidang sukan di mana kita sering kalahkan mereka di Pertadingan Bolasepak Piala Merdeka. Di samping itu, kita dianggap sebagai lebih ka hadapan daripada Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan di bidang pembangunan ekonomi. Tetapi keberkesanan sistem pendidikan Korea Selatan merupakan penyebab kepada keberadaan mereka pada hari ini. Memang kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia tidak relevan kepada Korea Selatan tetapi dari aspek-aspek yang lain, banyak yang boleh kita pelajari.

13. Pada tahun 1980, pendapatan per kapita mereka adalah USD 2,322 dan lebih rendah daripada kita pada kadar USD 2,351. Tetapi hari ini, pendapatan per kapita mereka adalah USD 24,328 dan dua kali lebih besar daripada kita pada kadar USD 10,547. Kini ekonomi Korea Selatan lebih handal daripada kita. Soalnya – apakah kehebatan tindakan mereka dan di manakah salahnya kita dalam usaha membangunkan negara masing-masing. Kiranya kita jujur dalam menjawab soalan ini, mungkin kita dapat menghasilkan pendekatan lebih berkesan untuk membangunkan Negara demi kebaikan kita semua, terutamanya generasi akan datang.

14. Hakikatnya ialah sistem pendidikan kita tidak berkesan. Ia adalah kegagalan yang memerlukan perubahan drastik dan radikal. Kita gagal dalam penilaian antarabangsa, kita gagal dalam memupuk integrasi kaum, kita gagal dalam menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir. Kita juga gagal menguasai komunikasi sehingga kedudukan kita yang dihormati satu waktu dahulu terhakis. Kita memerlukan sistem pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem dimana ibubapa berebut dan berlumba untuk mendapat tempat bagi anak mereka di sekolah awam aliran kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya dan sekaligus tidak menghiraukan sistem persekolahan saingan. Adalah diharapkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 mengambil kira pandangan ini dengan maksud untuk melaksanakannya.

15. Hadirin yang dihormati sekalian, saya ingin menyampaikan tahniah kepada ahli akademik UiTM atas kejayaan tuan-tuan dan puan-puan menghasil dan mengilmukan para graduan yang kita raikan. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada para ibu bapa yang menunggu kejayaan anak mereka dengan doa, pengorbanan dan kesabaran. Akhir kata, saya ucapkan setinggi tahniah kepada setiap orang graduan atas kejayaan saudara saudari. Ingatlah, majlis ini merupakan langkah permulaan dalam perjalanan saudara saudari untuk terus menimba ilmu dan memperolehi kebijaksanaan.

Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Universiti Teknologi MARA diatas penganugerahan ini yang merupakan suatu penghormatan tidak terhingga.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



0 comments:

share2