Mentakab – Empat kenderaan awam tersangkut dan terperangkap dalam banjir kilat ketika melalui Jalan Mentakab Karak dekat hadapan simpang Taman Saga di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, kebanyakan pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui jalan tersebut tidak perasan permukaan jalan tersebut telah dinaiki air kerana hujan lebat.
Seorang pengguna jalan raya, R Ramasamy, 45, berkata, kejadian itu menyebabkan satu keluarga yang menaiki sebuah kenderaan terperangkap apabila enjin kenderaannya mati sebaik melalui jalan tersebut.
Menurutnya, pemandu dan penumpang kereta tersebut terdiri daripada dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak berjaya diselamatkan orang ramai.
“Kawasan ini memang kerap dinaiki air terutama apabila hujan lebat. Kejadian hari ini berlaku tidak sampai satu jam hujan lebat dan akan bertambah teruk jika hujan lebih lama.
“Kami harap kejadian ini akan membuka mata pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memikirkan tindakan yang sepatutnya diambil mereka bagi mengatasi masalah ini daripada berulang,” katanya.
Sementara itu seorang pengguna jalan raya Md Hairuman Ramli, 37, berkata, kawasan tersebut kerap dinaiki air dan sudah biasa kepada pengguna jalan raya yang kerap melaluinya.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu menjadi bahaya kepada pengguna jalan raya dari luar kerana kedudukan jalan itu yang agak berselekoh dan akan menyebabkan penglihatan agak terhad.
“Biasanya kenderaan yang rosak dan terperangkap dalam banjir kilat ini pemandunya tidak perasaan ada banjir kilat di sini dan tidak sempat memperlahankan kenderaan.
“Saya sendiri pun tidak perasaan banjir kilat kali ini lebih dalam kerana hujan agak lebat.
“Kami harap pihak berkuasa seperti MPT dan JKR dapat menaik taraf jalan tersebut supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment