Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 18, 2014

DENDA RM6500.00 KERANA CABUL GADIS



KUANTAN - Seorang jurujual didenda RM6,500 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul gadis bawah umur pekerja sebuah kedai internet yang didakwa kenalannya.

Tertuduh, Pang Kwok Wah, 26, dari Kampung Baru di sini yang turut berdepan hukuman penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut memberi alasan dia mengenali gadis berusia 15 tahun itu.

Dia mendakwa, tindakannya memegang dan mencucuk tubuh pengadu bukan berniat untuk mencabul sebaliknya sebagai tanda menegur ‘kenalan’ ketika berkunjung ke kedai internet di Jalan Wong Ah Jang di sini kira-kira jam 3.30 petang, 13 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari bagaimana pun menolak alasan tertuduh itu memandangkan mangsa yang membantu abangnya menjaga kaunter premis internet itu, dalam kenyataannya kepada polis sebelum ini mengakui dia tidak mengenali tertuduh.

Katanya, pengadu juga tidak suka dengan tindakan tertuduh malah selepas kejadian itu, gadis tersebut trauma.

“Andaian peguam tertuduh dan mangsa sebagai kawan tidak dapat diterima mengambil kira percanggahan keterangan ini.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman lebih berat berbentuk pemenjaraan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau dengan sebatan sebelum itu melalui seorang peguam merayu hukuman diringankan.

Dalam sebutan kes itu semalam, pihak pendakwaan kemukakan gambar rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam perbuatan tertuduh sebagai bahan bukti dan dia mengakuinya.
 
 
 

0 comments:

share2