Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 28, 2014

CANTUM POKOK, TINGKAT MUTU BUAH


Shafik (dua, kanan) menunjukkan hasil tanaman nenas di Gambang yang mendapat sambutan di pasaran tempatan.

Kuantan – Kaedah percantuman pokok atau istilah ‘kahwin pokok’ mampu meningkatkan pengeluaran dan mutu buah-buahan di negara ini bagi memenuhi pasaran tempatan hingga antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Industri Asas Tani Negeri Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, musim buah ketika ini mampu memberi kelainan dari segi kualiti dan rasa buah-buahan tempatan hasil percantuman pokok.

Menurutnya, peredaran zaman serta kajian terperinci telah dilakukan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil buah di pasaran tempatan.

“Pertanian perlukan inovasi dan kreativiti bagi menghasilkan tanaman pokok buah-buahan ini yang lebih baik.

“Sebagai contoh, buah durian dahulu hanya ditanam sepokok demi sepokok di kebun ,tetapi melalui kaedah percantuman ini, kita boleh merasai pelbagai jenis pokok durian seperti musang king, D24,D99 dan lain-lain klon lagi.

“Saya melihat inovasi ini sebagai satu kejayaan kepada petani dalam usaha meningkatkan hasil tanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hati Bertemu Pelanggan Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.

Sementara itu, Shafik berkata, imbangan perdagangan juga harus konsisten untuk membekal buah-buahan ini di pasaran.

“Bantuan benih buah-buahan berkualiti, baja, alatan pertanian, infrastruktur asas dan ketika pembersihan disediakan kerajaan.

“Melalui bantuan ini, pokok buah-buahan yang ditanam dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh yang singkat, sekali gus dapat memenuhi pasaran tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar inovasi dan kreativiti ini bukan sahaja dilakukan oleh kakitangan jabatan pertanian, sebaliknya boleh diperluas kepada petani luar bandar untuk hasil yang lebih baik.

0 comments:

share2