Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 1, 2014

ASTRONOMIS AMATUR



MEMINATI dunia astronomi sejak di bangku sekolah terus membuak sehingga ke usia dewasa. Bagi mendalami alam angkasa lebih luas, Muhammad Rafiq Abdul Rahim, 26, berkira-kira membeli sebuah teleskop untuk melihat sendiri keindahan ruang galaksi.

Keputusan untuk memiliki teleskop tidak dibuat dengan serta-merta tetapi dilakukan secara berperingkat memandang keseriusan jejaka kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu semakin kukuh sejak sekembalinya dia ke tanah air selepas bertahun menuntut di luar negara.

Banyak yang perlu dipelajari Rafiq memandangkan ketika menuntut di Shibaura Institute of Technology, Tokyo, Jepun, dia terpaksa melupakan seketika minatnya untuk memberi tumpuan dalam pelajaran.

Dia yang kembali aktif sejak awal tahun ini banyak membaca di internet mengenai teleskop bersesuaian untuk seorang amatur. Pada masa sama, Rafiq turut mengikuti bengkel-bengkel dan salah satunya anjuran seorang aktivis astronomi, Shahrin Ahmad.

“Selepas mengikuti bengkel tersebut, saya semakin yakin untuk memilih jenama teleskop yang bersesuaian,” ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bengkel Kenali Teleskopku oleh Shahrin banyak memberi penekanan dan tunjuk ajar kepada individu yang baru berjinak-jinak dalam dunia astronomi. Pengisian program fokus untuk panduan memilih teleskop dan menerangkan fungsi-fungsi teleskop yang biasa digunakan oleh pencerap amatur dan profesional.

Ia merupakan satu inisiatif Shahrin untuk menggalakkan lebih ramai menceburi dan memahami dunia astronomi dalam kalangan masyarakat tempatan. Pada masa sama mendidik orang ramai membeli dan menggunakan teleskop dengan betul.

Ini kerana Shahrin banyak menerima rungutan dan soalan mengenai teleskop daripada peminat tempatan astronomi yang tidak tahu memilih jenama yang sesuai selain mampu dimiliki.

“Masalah paling ketara apabila ramai yang telah membeli teleskop tetapi ketika mahu menggunakannya, mereka menghadapi kesukaran kerana tidak tahu perkara asas," kata bapa kepada empat orang anak itu membuka bicara ketika ditemui Infiniti di rumahnya di Sri Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perkara paling asas bagi seorang pencerap amatur adalah mengenali dengan baik objek-objek yang terdapat di langit. Ia bagi memudahkan mereka sewaktu melakukan aktiviti pencerapan kelak.

Jenis-jenis objek seperti bintang, sistem solar dan satelit boleh dipelajari di laman web atau bahan bacaan berkaitan. Malah, laman web milik Shahrin sendiri, www. falakonline.net banyak berkongsi informasi berguna untuk pembaca.

Khatam pengenalan asas itu, Shahrin menasihatkan golongan amatur tersebut untuk mencuba teropong binokular bagi mendapatkan perspektif yang lebih luas ketika mencerap langit. Ia merupakan alat penting yang perlu ada bagi seorang pencerap kerana mempunyai fungsi yang berbeza dengan teleskop.

Teropong binokular digunakan untuk mendapatkan sudut pandangan yang luas ketika melakukan aktiviti pencerapan. Selepas mendapat objek khusus yang ingin dilihat secara fokus, pencerap akan menggunakan teleskop yang dapat memberikan imej jelas dan terperinci.

"Selepas mahir menggunakan teropong binokular, barulah mereka bersedia untuk beralih kepada sebuah teleskop," tambah Shahrin.

Pada asasnya, teleskop terbahagi kepada dua jenis yang biasa digunakan iaitu refractor (pembias) dan reflector (pembalik). Teleskop refractor menggunakan kanta manakala reflector dari biasan cermin.

Kedua-dua pembias tersebut terletak di dalam Optical Tube Assembly (OTA) atau bahagian panjang teleskop. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu saiz (aperture) dan panjang OTA. Sebuah teleskop bergantung kepada saiz kanta atau cermin yang dimahukan yang akan menentukan kebesaran aperture.

Panjang OTA bermaksud jarak titik fokus cahaya yang masuk merentasi kanta atau dibalikkan cermin hingga ia difokuskan menjadi satu imej. Tangkapan imej awalan tersebut biasanya tidak jelas dan kabur, maka komponan yang dipanggil kanta mata atau eyepiece dapat menerangkan objek tersebut.

Sebuah teleskop turut dilengkapkan dengan pemegang OTA atau dipanggil mount. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu Altazimuth (AltAz) dan Equatorial. Perbezaan antara kedua-duanya adalah merujuk kepada paksi pergerakan OTA.

Bagi AltAz, ia mempunya dua paksi iaitu boleh digerakkan ke atas atau bawah dan kiri atau kanan. Ia sedikit rumit bagi mencerap objek yang bergerak kerana perlu membuka paksi tersebut untuk menukar arah kedudukan teleskop.

Masalah itu boleh diatasi jika menggunakan pemegang jenis Equatorial yang hanya mempunyai satu paksi kekal yang perlu dihalakan ke arah titik utara. Ia mudah untuk mengikuti pergerakan atau laluan objek melalui gerakan secara manual.

"Namun begitu, setiap teleskop biasa tidak boleh menukar pemegang kerana ia hanya sesuai dengan set yang sedia ada sahaja. Ini bermakna, jika teleskop yang dibeli dilengkapkan dengan pemegang Equatorial, ia tidak boleh diganti dengan AltAz," kongsi Shahrin.

Selain kedua-dua pemegang tersebut yang digerak secara manual, terdapat dua jenis lagi yang biasa digunakan oleh seorang profesional iaitu bermotor dan bermotor-komputer.

Pemegang bermotor membolehkan OTA bergerak secara automatik mengikut pergerakan objek manakala jenis bermotor-komputer, teleskop mampu mencari dan mengikuti objek mengikut arahan pencerap.

Sebagai contoh, jika pencerap mahu melihat planet Marikh, mereka hanya perlu memasukkan maklumat ke dalam alat kawalan pemegang bermotor-berkomputer. Seterusnya, ia akan mencari objek tersebut tanpa perlu digerakkan secara manual.

"Masalah berlaku apabila ada pencerap yang tidak tahu memasukkan maklumat betul. Kesilapan itu boleh menggagalkan carian," tutur Shahrin.

Teleskop perlu dijaga seperti sebuah kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR). Ia perlu disimpan dalam udara yang bergerak bagi mengelakkan tompokan kulat. Selain itu, teleskop yang terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama juga akan menyebabkan haba terkumpul yang boleh merosakkan lensa.

Terdapat empat jenis teleskop yang popular dalam kalangan astronomi tempatan dan luar negara iaitu Orion, Celestron, Meade dan Skywatcher. Kesemua mempunyai fungsi hampir sama iaitu mencerap objek cakerawala yang terang dan besar.

Harga minimum bagi sebuah teleskop untuk seorang amatur adalah lingkungan RM800 dan ke atas. Walaupun mahal, ia berbaloi kerana mampu bertahan dalam tempoh yang lama. Walaupun ada teleskop yang jauh lebih murah antara RM200 hingga RM300, tetapi ia menghasilkan kualiti imej yang rendah selain mudah rosak.

"Maka pelaburan yang dikeluarkan tidak sia-sia malah berbaloi dengan harga yang ditawarkan," kata Shahrin.

Bersetuju dengan mentornya, Amirul Hazim Kamarulzaman, 18, berkata, pencerap baharu memikirkan dalam jangka masa panjang ketika membeli sebuah teleskop. Harga mahal adalah berpatutan dengan teknologi teleskop yang dimahukan.

Sehingga kini, pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang itu sudah memiliki empat buah teleskop sejak bergiat aktif dalam bidang astronomi lima tahun lalu. Salah satu daripadanya berharga RM1,100 jenama Celestron yang dihadiahkan oleh keluarganya.

"Kepuasan tidak terletak pada harga tetapi fungsi-fungsi yang terdapat pada teleskop tersebut. Rasa berbaloi apabila dapat mencerap dan mengambil gambar objek angkasa," ujarnya.



0 comments:

share2