Mentakab – Dua pegawai polis masing-masing cedera di kaki dan telinga ketika cuba menangkap seorang lelaki kurang siuman yang membuat huru-hara di sekitar Masjid Abu Bakar, di sini Sabtu lalu.
Pegawai terbabit dari Cawangan Jenayah, Inspektor Sharudin dan Ketua Balai Polis Mentakab Inspektor Rizal Md Dan cedera terkena pisau Rambo yang dipegang lelaki itu ketika bergelut menangkapnya.
Timbalan Ketua Polis Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi apabila seorang lelaki kurang siuman membuat kacau di sekitar masjid.
Menurutnya, polis tiba di tempat kejadian cuba menenteramkan lelaki tersebut dan memujuknya meletakkan pisau Rambo dan tukul besi yang dipegangnya.
Bagaimanapun kata Zundin, lelaki terbabit semakin agresif dan mula memecahkan cermin kereta orang awam menyebabkan polis cuba menggunakan alat renjatan elektrik untuk tangkap lelaki terbabit.
“Ketika bergelut, pisau dipegang lelaki terbabit terkena pada bahagian telinga Inspektor Sharudin dan kaki Inspektor Rizal.
“Lelaki itu berjaya diberkas dan dihantar ke Hospital Temerloh untuk pemeriksaan, manakala Inspektor Sharudin menerima 15 jahitan di telinga dan pipi manakala Inspektor Rizal turut menerima rawatan akibat kejadian itu.
0 comments:
Post a Comment