Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 6, 2014

NAIK JUMLAH DENDA, TEMPOH PENJARA


Adnan

Rompin - Kenaikan jumlah denda dan tempoh penjara dipanjangkan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang berkuatkuasa Disember tahun lalu bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah jenayah syariah agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat berkata, jumlah denda bagi kes-kes tangkapan sebelum ini tidak melebihi RM1,000 telah dinaikkan kepada tidak melebihi RM3,000, manakala tempoh hukuman penjara dipanjangkan kepada tidak melebihi dua tahun berbanding hukuman sebelum ini tidak melebihi enam bulan sahaja.

Menurutnya, denda dan hukuman penjara itu meliputi kesalahan berhubungan dengan akidah, kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya, kesalahan berhubungan dengan kesusilaan, kesalahan pelbagai dan kesalahan persubahatan dan percubaan.

"Kenaikan itu juga berkesan dalam memberi pengajaran kepada umat Islam lain agar mengelakkan diri dari melakukan jenayah syariah.

“Kadar jenayah syariah di Rompin setakat ini iaitu suku pertama tahun 2014 tidak tinggi dan masih lagi terkawal,” katanya kepada Sinar Harian.

Bermula 1 Disember tahun lalu, sebanyak 71 seksyen kesalahan jenayah syariah telah dikuatkuasakan di bawah enakmen baharu iaitu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 selepas perkara itu diperkenan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 25 Oktober lepas. 

Dalam 71 seksyen di bawah enakmen itu terdapat dua seksyen tambahan.

0 comments:

share2