Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 15, 2014

PECUT LAJU ELAK DICEKUP POLIS




Johor Bahru – Tindakan pantas polis menahan sebuah kereta mencurigakan ketika rondaan di Lebuhraya Skudai-Ayer Hitam, di sini, berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah dan kegiatan melarikan kenderaan sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Johor, Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tiga suspek termasuk seorang wanita berjaya ditangkap selepas cuba melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, 2 Mei lalu.

“Ketika rondaan, polis ternampak sebuah kenderaan mencurigakan dan cuba menahannya, tetapi mereka enggan berhenti lalu memecut laju sehingga terbabas di hentian bas Rumah Awam di Kelapa Sawit.

“Empat suspek meluru keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri tetapi tiga daripada mereka berjaya ditangkap,” katanya semalam.

Mohd Mokhtar berkata, susulan kejadian itu, polis turut melancarkan beberapa siri serbuan di Batu Pahat dan Johor Bahru bagi menjejaki rakan suspek dan berjaya menahan enam lagi suspek termasuk dua wanita.

“Polis berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita yang dipercayai rakan sejenayah dalam kes ini. Kesemua ditahan didapati positif dadah jenis methametamine.

“Hasil semakan polis juga mendapati, lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya, hasil serbuan polis berjaya merampas lima kenderaan curi, 18 telefon bimbit, sejumlah wang tunai pelbagai negara, dua kamera, empat komputer riba, empat beg tangan, peralatan pecah rumah dan pedang samurai.

Mohd Mokhtar berkata, penahanan itu membolehkan pihak polis menyelesaikan 12 kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di Johor Bahru, Kulaijaya dan Lumut (Perak).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, manakala kesemua suspek direman hingga 15 Mei,” katanya.

0 comments:

share2