Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 22, 2014

'KE RUMAH KEKASIH NAK CUCI BAJU'




Sungai Petani - “Dia baru sahaja sampai rumah saya pagi tadi,” demikian helah seorang remaja lelaki yang memberikan alasan bagi ‘menyelamatkan’ kekasihnya ketika serbuan dilakukan anggota penguatkuasa kerana bersekedudukan.

Pasangan itu dicekup dalam sebuah rumah di sini ketika sedang tidur pada jam 9.30 pagi oleh sepasukan sembilan anggota termasuk pegawai dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.

Pasangan itu yang berusia 20 tahun berasal dari Pokok Sena dan Alor Setar menyewa di perumahan terbabit kerana mendakwa sedang bekerja di bandar ini.

Apabila ditanya, wanita itu berkata, rumah sewanya hanya 200 meter dari situ dan datang ke rumah kekasihnya pada jam 8 pagi untuk mencuci baju kerana terdapat sebuah mesin basuh di situ.

Bagaimanapun, ketika dicekup kedua-duanya ditemui berada di sebuah bilik dan salah seorangnya tidak berpakaian.

Berdasarkan pengakuan, mereka sudah berkenalan lima tahun lalu sejak di bangku sekolah dan kini masing-masing sedang bekerja di sebuah pasar raya dan kilang berasaskan ubat-ubatan di bandar ini.

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, aduan dikemukakan orang awam apabila ternampak seorang wanita sering berkunjung ke rumah kekasihnya yang tinggal seorang diri termasuk pada waktu malam.

“Hasil siasatan kami dapati terdapat sepasang kekasih berada di dalamnya dipercayai tinggal serumah berdasarkan penemuan pakaian dalam wanita terbabit termasuk kelengkapan lain yang tersusun dalam almari milik kekasihnya,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 iaitu bersekedudukan, bersembunyi atau bersama wanita bukan mahram.

Sekiranya sabit kesalahan, hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun boleh dikenakan.

Dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih dicekup oleh jawatankuasa masjid ketika tidur berdua-duaan di sebuah pondok berteduh dalam kawasan rumah dekat Gurun, Kedah pada jam 8 pagi.

Menurut Zaiferi, pasangan berusia 18 dan 20 tahun itu ditemui sedang nyenyak tidur dalam pondok yang terdapat dalam halaman rumah si lelaki.

“Kes itu, bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya.

0 comments:

share2