Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 21, 2014

JENAZAH DIUSUNG GUNA TANGGA




Petaling Jaya - Memang tidak dapat dibayangkan betapa sukarnya membawa jenazah turun dari aras 9 ke tingkat paling bawah untuk urusan pengebumian dengan hanya menggunakan tangga, tetapi itulah kejadian yang berlaku di Flat Desa Mentari, semalam.

Semuanya gara-gara masalah lif rosak sejak dua bulan lalu yang tidak diberi perhatian oleh pihak pengurusan sehingga akhirnya menyusahkan penduduk.

Mujur ada jiran yang prihatin menghubungi pihak bomba sekitar jam 2.15 petang dan sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba Jalan Penchala dan Balai Bomba Seksyen 7 bergegas ke lokasi bagi membantu menurunkan jenazah menerusi tangga. 

Begitu pun ia tugas yang amat mencabar kepada anggota bomba berkenaan kerana bukan sahaja tangganya sempit malah ketiadaan pemegang menyukarkan lagi keadaan.

Jadi mahu tidak mahu terpaksa mereka menurunkan jenazah yang sudah lengkap dikafan dan diletakkan di atas pengusung dengan amat berhati-hati bimbang tersilap langkah.


Bukan kali pertama

Ketua Balai Bomba Jalan Penchala, Zaidi Ahtan berkata, walaupun ini bukan kali pertama anggotanya berhadapan dengan situasi yang sama, namun ia tidak dipandang enteng dan bukan dilakukan sewenang-wenangnya.

"Untuk membawa jenazah turun, lima anggota akan standby di bahagian bawah tangga sementara enam lagi di atas mengusung stretcher. Sampai sahaja di anak tangga terakhir tingkat seterusnya, stretcher akan bertukar tangan, enam anggota akan standby di bawah pula dan lima anggota pula mengusung. Begitulah yang mereka lakukan sehingga selamat sampai ke tingkat paling bawah.

"Jenazah perlu dihormati, apatah lagi setelah siap lengkap dimandi dan dikafan. Jadi, walaupun dengan keluasan terhad, kami pastikan ia dilakukan dengan sempurna," katanya.


Penduduk berang pengurusan sengaja 'kunci' lif

Dalam pada itu, disebabkan insiden berkenaan, penduduk flat ini bengang dengan pihak pengurusan yang didakwa sengaja menghentikan operasi lif.

Pemangku Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 2 Flat Desa Mentari, Zainal Abidin Kamarulzaman berkata, lif yang ada sengaja dikunci kerana mereka mahu penduduk membayar wang penyelenggaraan.

"Ada empat lif di blok ni, tapi semua tak boleh guna langsung. Dah dua bulan kami penduduk terpaksa turun naik tangga. Ada sampai nak pengsan naik tangga sampai tingkat 11. Yang mereka tahu bagi alasan lif rosak dan dah uzur kepada kami," katanya.

Merujuk kejadian semalam, Zainal Abidin berkata, jenazah berkenaan terpaksa diturunkan melalui tangga setelah pihak pengurusan enggan membuka lif walau telah dimaklumkan wakil penduduk.

Dalam pada itu, menurut bendahari persatuan penduduk flat berkenaan, Mohd Zaini Abdullah Thani, tindakan pihak pengurusan sememangnya tidak wajar dan lif tersebut perlu dibaik pulih dengan segera.

"Dah banyak laporan kami buat pasal lif ni, tapi masih tak ada sebarang tindakan.

“Mereka cakap penduduk tak bayar duit penyelenggaraan, padahal berapa kerat saja yang buat macam tu," katanya.

Mohd Zaini menambah, paling dibimbangi jika berlaku kecemasan.

"Tak pasal-pasal kena usung jenazah dari tingkat 9 guna tangga," katanya yang berharap pihak pengurusan segera berbuat sesuatu untuk membaik pulih lif berkenaan sekiranya benar ia rosak.

0 comments:

share2