Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 20, 2014

CABARAN LAKSANA HUDUD


Gambar hiasan


PERDEBATAN tentang isu hudud akan terus timbul dari semasa ke semasa dan mendapat perhatian ramai.

Jangan mudah terpedaya dengan keputusan Pas untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada sidang Jun 2014 untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Gesaan bagi pelaksanaan hukum hudud akan kembali dan terus disuarakan.

Malaysia pada dasarnya menekankan kepentingan agama tetapi masih bersifat sekular. Kita memiliki kerajaan yang berasaskan sistem Parlimen Westminster tetapi pada masa sama mempunyai badan eksekutif yang terus berkembang secara berleluasa.

Justeru, banyak pihak berasa kurang senang akan ‘dualiti’ yang wujud ini dan mereka cenderung untuk menggunakan salah satu kuasa ini bagi mendukung agenda sendiri.

Malaysia bukanlah negara yang mengamalkan konsep monarki mutlak seperti Brunei. Sungguhpun begitu, umum mengetahui ramai penduduk Brunei – 70% daripadanya terdiri daripada golongan Muslim – yang telah menyuarakan kritikan mereka menerusi media sosial terhadap keputusan Sultan Hassanal Bolkiah baru-baru ini untuk melaksanakan hukum hudud.

Di Malaysia, tiada satu pihak berhak untuk mengubah status quo tanpa mendapat persetujuan bersama.

Tentu sekali, ada sesetengah pihak mengatakan bahawa seorang Muslim sejati tidak boleh menentang hudud.

Walau bagaimanapun, kenyataan menunjukkan bahawa tidak ada persetujuan sejagat dalam kalangan negara-negara Islam tentang apa yang terangkum dalam hukum hudud, atau bagaimana cara pelaksanaannya.

Malah, bukankah asas bagi hukum hudud sebagai sebuah undang-undang suci bermakna kita harus memastikan yang ia tidak boleh disalahgunakan? Serta ia boleh melindungi hak golongan wanita dan minoriti?

Golongan penyokong pelaksanaan hudud di Malaysia masih gagal untuk memberi hujah meyakinkan dalam menjamin elemen tersebut akan dipelihara.

Sebarang undang-undang hudud yang ingin diterapkan akan dipengaruhi dengan tafsiran mereka sendiri – sama ada secara baik atau buruk.

Sememangnya, ia tidak adil jika rakyat beragama Islam mendapat hukuman berbeza dengan masyarakat lain jika mereka melakukan kesalahan.

Begitu juga bagi masyarakat bukan Islam, mereka tidak boleh dipaksa untuk akur akan sesebuah sistem undang-undang yang tidak berasaskan kepercayaan mereka.

Ia amat mengecewakan apabila dua parti Melayu-Islam utama di Malaysia – Pas dan Umno gagal untuk menyedari dan memperakui perkara-perkara ini.

Pas sentiasa berjuang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud. Ini adalah hak demokrasi mereka.

Namun pemimpin-pemimpin mereka juga harus berpijak di bumi nyata dan sedar bahawa kejayaan mereka menarik sokongan pengundi-pengundi bandar bukan berpandukan agenda tersebut, sebaliknya ia disebabkan aspek inklusif yang diperjuangkan menerusi politik Islam.

Aspek-aspek berkenaan, seperti sistem tadbir urus yang baik dan keadilan sosial, akan lebih banyak menyumbang dalam pembentukan institusi masyarakat ideal yang diperjuangkan Pas, dan bukan menerusi undang-undang bersifat punitif.

Sementara itu, sekutu Pas dalam Pakatan Rakyat – PKR dan DAP – tidak boleh hanya berdiam diri. Mereka harus bangkit bersuara sesuai dengan harapan rakyat yang mengundi mereka.

Bagi Umno pula, perbahasan isu hudud yang mereka hadapi dengan Pas ini adalah amat bahaya. Parti Umno yang saya kenali bukanlah satu parti teokratik.

Ia menjadi suatu kesilapan buat Umno jika mereka beranggapan bahawa mereka dapat menarik sokongan pengundi Melayu dengan memberi sokongan kepada hudud.

Kekuatan Umno sejak dahulu adalah ia boleh diterima setiap masyarakat – Melayu dan bukan Melayu – atas sumbangan yang diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Dengan itu, perdebatan hukum hudud jelas sekali akan merugikan kedua-dua parti. Namun, apa yang lebih jelas ialah pihak yang paling dirugikan adalah masyarakat umum Malaysia.

Bukankah ada banyak lagi isu lain yang lebih penting – seperti sistem pendidikan dan kos sara hidup yang perlu dibincangkan?

Adakah mereka yang menyokong hukum hudud benar-benar mengambil berat tentang kepercayaan agama atau sebenarnya mereka ada agenda lain?

Marilah kita sama-sama renungkan.. Janganlah kita menggunakan agama bagi kepentingan politik semata-mata..


* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah
 

0 comments:

share2