Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 25, 2014

ROGOL, CURI: LELAKI DIPENJARA 18 TAHUN




Kuala Lumpur - Belum lagi menjalani hukuman penjara 18 tahun dan sembilan sebatan kerana merogol seorang wanita, seorang lelaki hari ini dijatuhi hukuman penjara berjumlah 41 tahun dan 12 sebatan kerana merogol seorang remaja dan mencuri Ipadnya.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Chai Ruong Huei, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam kali sebatan bagi setiap dua pertuduhan merogol dan penjara lima tahun bagi satu pertuduhan mencuri Ipad itu.

Bagaimanapun, Ruong Huei, yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai jam, hanya perlu menjalani hukuman penjara 18 tahun untuk pensabitan ini selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman itu bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara 18 tahun dan sembilan sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 26 Mac lalu kerana merogol mangsa lain.

Ruong Huei didakwa merogol remaja perempuan berumur 16 tahun di sebuahhotel di Cheras di sini, kira-kira pukul 2.10 petang, 15 September 2012.

Dia juga didapati bersalah merogol mangsa sama pada pukul 2.30 petang di tempat, tarikh yang sama mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagi pertuduhan mencuri pula, lelaki itu didakwa mencuri iPad milik remaja itu kira-kira jam 2.40 petang, di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie yang memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan trauma mangsa.

Bagaimanapun, peguam Mohd Yusof Ag Lah yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan anak guamnya itu merupakan penanggung tunggal kepada keluarganya.

Sebanyak 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

0 comments:

share2