Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 30, 2014

PENGUMUMAN PENTING HARI INI!




Shah Alam - Teka-teki sama ada catuan air di Selangor bakal dihentikan masih belum terjawab apabila sidang media yang dijadualkan berlangsung semalam, ditangguhkan hari ini.

Penangguhan tersebut sekali gus menimbulkan tanda-tanda di kalangan rakyat yang sudah pasti mengharapkan pengumuman mengenai penghentian catuan yang dihadapi selama lebih dua bulan.

Minggu lalu, Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan catuan bakal dihentikan minggu ini dengan bergantung kepada keadaan empangan di negeri ini.

Menurutnya, keadaan paras empangan menunjukkan peningkatan yang positif sepanjang minggu lalu dan jika berterusan maka catuan bakal dihentikan.

Semalam Abdul Khalid melalui Twitternya memberitahu mengenai penangguhan pengumuman itu.

“Untuk makluman, pengumuman penting isu catuan air pada jam 2.30 petang ini (semalam) akan ditangguhkan ke hari esok (hari ini). Insya-ALLAH positif #DemiRakyat,” katanya.

Dalam pada itu, sumber Pejabat Menteri Besar berkata, penangguhan tersebut dibuat kerana kerajaan negeri masih menanti data lengkap.

Menurutnya, maklumat tersebut perlu dirujuk terlebih dahulu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

"Ada data-data yang memerlukan pengesahan lanjut selain ia perlu dibawa ke dalam mesyuarat MMKN esok (hari ini)," katanya.

Jumaat lalu, Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi mengumumkan enam daripada tujuh empangan di Selangor mencatatkan perkembangan positif dengan Empangan Klang Gates menunjukkan peningkatan sebanyak 4 peratus.

Bagaimanapun, Empangan Sungai Selangor hanya menunjukkan peningkatan sebanyak 1.18 peratus dan peningkatan itu belum mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum catuan ditamatkan.

Sebelum ini Syabas mengumumkan Pelan Catuan Air Peringkat Pertama dan Ketiga bermula 2 Mac hingga 31 Mac.

Bagaimanapun, catuan yang dijangka ditamatkan pada 31 Mac itu disambung hingga ke 30 April.

0 comments:

share2