Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 30, 2014

PADAH CURI BAJU T BERNILAI RM119

Kota Bharu - Seorang buruh binaan dihukum penjara lima hari dan turut didenda RM500 oleh mahkamah majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah mencuri baju T berjenama bernilai RM119.

Hukuman terhadap Saifullah Hassan@Haron, 29, diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas tertuduh mengaku salah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri baju T berjenama Nike Polo di sebuah kedai di Jalan Mahmood, di sini, jam 6 petang pada 25 April lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh merayu hukumannya diringankan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM40 sehari.

“Saya minta hukuman ringan kerana saya orang susah dan pendapatan tidak tetap, kadang ada kadang tiada,” katanya.

Nik Habri turut mengenakan hukuman penjara sebulan terhadap tertuduh jika gagal menjelaskan denda.

Dalam perkembangan sama, tertuduh juga didenda RM1,500 dan empat bulan penjara untuk dua tuduhan menagih dadah.

Hukuman penjara berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan pada 25 April lalu.

Tertuduh sebelum itu ditahan polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah ketika terserempak dengan pekerja kedai yang sedang mengejar tertuduh kerana mengambil baju tersebut dan keluar tanpa membuat bayaran. Ketika kejadian, tertuduh memakai jubah.

0 comments:

share2