Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 30, 2014

MENGAMUK MARAH KELUARGA SENDIRI




Psrit Buntar - Penduduk Kampung Tebuk Haji Musa, di sini gempar apabila seorang lelaki berusia 35 tahun membawa parang, bertindak agresif terhadap anggota keluarga sebelum menyembunyikan diri di tengah kawasan sawah padi pagi semalam.

Lelaki yang masih belum berumah tangga difahamkan mengalami tekanan perasaan setelah berselisih faham dengan ahli keluarga.

Keadaan tegang ini menimbulkan suasana panik kepada masyarakat yang kebetulan berada di kawasan berdekatan.

Jurucakap Komuniti Keselamatan Komunikasi Kerian (4K) berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 9 pagi apabila lelaki terbabit dikatakan bertindak agresif dengan menetak parang pada dinding rumah setelah berselisih faham dengan ahli keluarga.

Menyedari perbuatannya itu disedari penduduk dan berasa terancam, lelak itu bertindak melarikan diri dan bersembunyi di sebuah kawasan di tengah-tengah sawah padi di bahagian belakang rumahnya.

“Beberapa anggota 4K yang mendapat maklumat awal terus memaklumkan kejadian kepada polis dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum membantu ahli keluarga cuba menenteramkan lelaki terbabit di tempat persembunyiannya.

“Usaha menenteramkan suspek memakan masa empat jam setengah dan dia akhirnya bersetuju menyerah diri bersama parang kepada anggota 4K setelah berulang kali dipujuk ahli keluarga dengan dibantu anggota polis,” katanya sewaktu ditemui, semalam.

Jurucakap anggota 4K berkata, lelaki tersebut yang mengalami tekanan perasaan pada mulanya enggan mengendahkan pujukan ahli keluarga dan tidak mahu keluar dari tempat persembunyian.

“Dia yang keletihan kemudiannya akur dengan pujukan salah seorang anggota 4K yang meminta supaya senjata parang yang dibawa diserahkan kepada polis sebelum berjaya dibawa keluar dari tempat persembunyian setelah empat jam.

“Lelaki tersebut difahamkan berkelakuan normal sebelum ini dan tidak pernah melakukan tindakan nekad sebegitu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan kes berkenaan sedang dilakukan pihaknya.

Menurutnya, lelaki terbabit yang diberkas setelah ditenangkan anggota polis kemudiannya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.

“Lelaki itu dikenal pasti mengalami gangguan perasaan.

“Kita sedang mengenal pasti punca sebenar sehingga dia bertindak sedemikian,” katanya.

0 comments:

share2