Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 29, 2014

13 TAHUN ANAK HILANG




Seberang Temerloh - Pasangan warga emas dari Kampung Lebak Seberang, di sini merayu anak perempuan mereka yang gagal dihubungi sejak 13 tahun lalu pulang ke pangkuan keluarga sebelum pasangan itu ‘menutup mata’.

Omar Maaris 79, dan isteri Timah Ramlah Singah, 74, berharap anak kelima dari tujuh beradik Nor Suhaila yang hilang sejak berumur 24 tahun pulang ke rumah sementara ibu bapanya masih ada.

Timah Ramlah berkata, keadaan kesihatan ayahnya semakin tidak menentu, sekarang ayahnya kerap kali semput dan menderita sakit kaki.

“Alamat terakhirnya di Johor Bahru, saya pernah seorang diri sewa teksi pergi balik RM700 semata-mata untuk mencari anak kesayangan saya itu, dia manja dengan saya berbanding yang lain.

“Saya sewa teksi, makan minum malah duit rokok pemandu teksi itu pun saya tanggung supaya dia dapat menemani saya mencari Nor Suhaila, kami cari dari rumah ke rumah, tapi semuanya hampa,” katanya sewaktu ditemui di sini semalam.

Timah Ramlah berkata, dia juga pernah melompat keluar dari teksi apabila terpandang wajah seorang perempuan yang mirip Nor Suhaila sedang menunggu bas di Kuantan.

“Semua itu hampa, saya ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang seorang diri untuk mencari Nor Suhaila, jumpa ramai orang untuk cari anak saya, duit sudah RM4,000 dihabiskan untuk ikhtiar mencarinya,” katanya.

Timah Ramlah berkata, Nor Suhaila pernah bekerja sebagai kerani dengan sebuah syarikat di Johor dan berjanji untuk pulang ke kampung tiga kali sebulan.

“Satu hari dia telefon saya, dia kata ada seorang lelaki Cina sukakannya, saya suruh dia balik ke kampung dan jika mahu kahwin suruh lelaki itu masuk Islam.

“Lepas itu semua hilang, tidak ada lagi khabar berita dari Nor Suhaila, kami sekeluarga sangat rindukannya,” katanya.

Bapanya, Omar berharap, anak perempuannya itu kini sudah berusia 37 tahun dan sudah cukup dewasa untuk memikirkan perkara yang baik dan buruk.

“Saya harap dia pulang, kami sangat rindukannya, saya bukan sihat sangat sekarang,” katanya.

Pasangan itu yang dikurniakan tujuh anak kini tinggal bersama anak kedua bongsunya Suhaizam yang juga orang kurang upaya (OKU).

0 comments:

share2