Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 26, 2014

LAPAN LOKASI SAMSENG JALANAN



Kuala Terengganu - Lapan lokasi panas di daerah ini dikenal pasti menjadi pilihan samseng jalanan berentap pada setiap hujung minggu iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, lokasi tersebut termasuklah Jalan Sultan Mahmud, Durian Burung, Padang Midin, Wakaf Beruas, Taman Semarak, Tok Adis, Chendering dan sekitar kawasan Stadium Sultan Mizan, di sini.

Susulan itu katanya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melancarkan Operasi Cantas Khas yang memberi tumpuan di lokasi panas berkenaan bagi membendung aktiviti lumba haram daripada berleluasa.

“Sebenarnya kita sudah memperkenalkan Operasi Cantas Khas sejak 6 Mac lalu dan akan dipastikan berterusan selama dua bulan. Selepas itu, pihak kami akan meneruskan operasi ini sekiranya kegiatan itu masih berleluasa.

“Kita memandang serius kegiatan samseng jalanan ini kerana telah mengakibatkan kesesakan dan gangguan kelancaran lalu lintas selain mengganggu ketenteraman awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Polis Peringkat IPK Terengganu, di sini, semalam.

Hamzah berkata, sehingga Sabtu lalu, sebanyak 486 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala dua kenderaan disita hasil pemeriksaan ke atas 4,771 kenderaan.

Menurutnya, kesemua kenderaan yang diperiksa hasil operasi yang dijalankan antaranya mengadakan sekatan jalan, sekatan jalan secara bergerak, rondaan berkereta dan bermotosikal, menempatkan anggota di simpang utama yang dikenal pasti dijadikan tempat merempit dan operasi yang turut disertai cawangan jenayah dan narkotik.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,983 kes kemalangan jalan raya dilaporkan dengan Kuala Terengganu mencatatkan rekod paling tinggi iaitu 633 kes diikuti Kemaman 433 kes dan Dungun 365 kes.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 67 kes membabitkan kematian dengan daerah Dungun mencatatkan 16 kematian diikuti Kuala Terengganu 12 kes, Kemaman 35 kes manakala masing-masing 10 kes di Hulu Terengganu dan Setiu,” katanya. Berhubung kadar jenayah indeks pula beliau berkata, jenayah indeks terbahagi kepada dua iaitu kecurian harta benda dan jenayah kekerasan.

“Jenayah harta benda menyumbang kepada 51.5 peratus daripada semua jenayah indeks yang dilaporkan sepanjang tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, IPK Terengganu mengambil inisiatif memasang peralatan Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) bertujuan mengenal pasti kawasan yang sering berlaku jenayah.

Katanya, proses pemasangan alat berkenaan kini sedang dijalankan dan dijangka boleh digunakan seawalnya sebulan dari sekarang.

0 comments:

share2