Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 3, 2013

TANAMAN PADI PULAU TAWAR BAKAL DIMAJUKAN


JERANTUT - Kawasan seluas 300 hektar di Paya Kangsa, Pulau Tawar dekat sini, akan dimajukan semula dengan projek tanaman padi bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan utama itu di negeri ini.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kawasan sawah padi yang terbiar sejak 25 tahun lalu akan diselenggarakan menerusi pengurusan estet yang sempurna sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk belia.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Jabatan Pertanian dan agensi lain untuk memulakan projek tanaman padi 'beras wangi' seperti yang terdapat di Thailand dan Filipina.

"Projek berasaskan sistem estet mampu menghasilkan enam hingga tujuh tan sehektar buat permulaan sekali gus mengubah pendapatan petani kampung tradisional di Pulau Tawar.

"Kita akan berbincang dengan pemilik tanah sama ada untuk mengusahakan sendiri menerusi bantuan agensi kerajaan atau mengadakan perjanjian kerjasama dengan beberapa syarikat swasta yang akan memberi pakej bantuan input pertanian dan khidmat nasihat yang boleh diaplikasi secara tepat oleh petani," katanya di sini semalam.

Menurut Ahmad Nazlan, projek tanaman padi di situ terbantut sejak sekian lama kerana masalah banjir, gangguan haiwan, pengairan, pemilik yang sudah berusia dan beberapa masalah teknikal lain.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan merancang lebih teliti untuk projek tanaman padi 'beras wangi' yang mampu menjana pulangan hasil yang terbaik sekali gus meningkat pendapatan keluarga petani berkenaan.

"Kita akan berbincang dengan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), pemilik tanah dan agensi kerajaan untuk mencari mekanisme baharu agar projek ini berjaya direalisasikan tidak lama lagi," katanya.

Ahmad Nazlan berkata, projek itu wajar dilaksanakan kerana dapat memacu perkampungan tradisional di pesisiran Sungai Pahang di daerah ini menerusi sektor pertanian komersial berasaskan tanah-tanih yang subur.

Katanya, projek tanaman padi di Kampung Gintong dekat sini, antara yang berjaya membabitkan usaha bersungguh-sungguh penduduk di samping bantuan teknikal dan bimbingan Jabatan Pertanian.

0 comments:

share2