Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 3, 2013

PROJEK PEMBINAAN PUSAT KEROHANIAN HANYA SATU PENIPUAN


KUANTAN - Projek pembinaan pusat pelancongan kerohanian pelbagai agama di Gambang dekat sini, seperti yang diuar-uarkan sebuah syarikat pemaju, Enchant Acres Sdn. Bhd., tidak pernah dibincangkan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menegaskan, pembinaan pusat tersebut yang mencetuskan pelbagai spekulasi di internet ketika ini sememangnya tidak akan dibuat di negeri ini dan apa yang ditimbulkan sebelum ini adalah satu penipuan.

Sebaliknya, menurut beliau, tanah seluas 100 hektar di Gambang itu diluluskan kepada syarikat Waras Mekar Sdn. Bhd., yang hanya berunding dengan Enchant Acres bagi memajukan tanah berkenaan sebagai rakan kongsi untuk tujuan pembangunan bercampur antara komersial dengan kediaman seperti disyaratkan.

''Namun, belum ada persetujuan ditandatangani tetapi tiba-tiba Enchant Acres buat kenyataan akan buat pusat pelancongan kerohanian di Gambang. Dengan itu Waras Mekar telah buat laporan polis.

"Projek ini tidak pernah dibincangkan dan tidak akan dibuat di Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Enchant Acres menerusi dalam laman web syarikat itu menghebahkan mengenai projek pembinaan sebuah pusat pelancongan kerohanian di Gambang melibatkan pelbagai agama selain turut melibatkan pembinaan hotel dan institusi pendidikan di tapak tersebut.

Sementara itu, Adnan berkata, kerajaan negeri hanya membuat kenyataan berhubung isu tersebut ketika ini kerana perlu membuat siasatan terperinci.

"Saya harap dengan penjelasan keadaan sebenar hari ini, maka isu ini selesai. Pembangunan di tanah yang kita luluskan hanyalah untuk projek kediaman dan komersial," jelasnya.

0 comments:

share2