Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 7, 2013

MARTABATKAN NEGERI PAHANG MELALUI NOVEL


KUANTAN - Penggunaan dialek Pahang dalam novel Hashim Zabidi merupakan antara usaha memartabat dan memperkenalkan negeri ini kepada peminat novel di seluruh negara.

Menurut Hashim, karya pertamanya itu diberi sentuhan berbeza berbanding lambakan novel yang kini berada di pasaran.

Katanya, bukan sekadar unik dengan penerapan dialek, malah dapat mengekalkan penggunaannya dalam kalangan pembaca yang kebanyakan generasi muda.

"Saya berharap dialek Pahang ini akan dapat dikekalkan khususnya kepada generasi muda yang kebanyakannya masih tidak arif dengan bahasa tersebut.

"Tambahan pula, dialek tersebut ada banyak dan berbeza di setiap daerah dan menjadikannya unik serta menarik untuk dikongsikan bersama pembaca," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Novel pertama Hashim yang bertajuk Berkelana itu merupakan semi sejarah yang mengisahkan kehidupan masyarakat zaman terdahulu dalam usaha membuka dan mewujudkan kampung di sekitar Pahang Barat.

Novel keduanya yang bertajuk Mat Jan masih dalam proses penerbitan turut menerapkan unsur dialek negeri ini dan menceritakan tentang masyarakat desa suatu ketika dahulu.

Katanya, beliau turut menyediakan penterjemahan dalam setiap novelnya bagi memudahkan pembaca membuat rujukan dan memahami perkataan loghat yang digunakan.

"Saya berharap penggunaan dialek tersebut tidak akan dilupakan sekali gus dapat diteruskan kesinambungannya oleh generasi muda," ujarnya.

0 comments:

share2