Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 1, 2013

JKKR PERLU MAIN PERANAN


JENGKA - Setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) disaran menganjurkan program motivasi khusus untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan dalam usaha membentuk generasi tanah rancangan yang berpendidikan tinggi.

Adun Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, golongan pelajar di tanah rancangan ini digalakkan memanfaatkan peluang tersebut sebagai langkah ke arah mengecap kecemerlangan akademik.

Menurutnya, kelulusan akademik amat penting bagi memastikan anak-anak peneroka tidak ketinggalan dalam kemajuan arus pemodenan negara.

“Anak-anak sekarang perlu berhadapan dengan pelbagai rintangan dan saingan yang tinggi untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang.

“Jadikan wira dan wirawati Gunung Everest sebagai dorongan kepada anak-anak bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan memerlukan kesungguhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program motivasi anjuran JKKR dengan kerjasama pengurusan Felda untuk pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di balai raya, dekat sini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi JKKR, Md Rejab Saaban berkata, inisiatif mengadakan motivasi dengan menjemput pakar motivasi tempatan adalah untuk melihat anak-anak Felda berjaya dalam pelajaran.

“Kita tidak mahu anak-anak dan cucu kita jadi seperti kita. Kita mahu lihat anak-anak mencapai kejayaan cemerlang, justeru apabila berjaya nanti, mereka akan menjadi dorongan kepada anak-anak Felda generasi seterusnya.

“Apabila berjaya, kita juga berharap anak-anak ini pulang ke tanah rancangan untuk berkongsi kejayaan mereka dan berkhidmat membangunkan tanah rancangan ke arah fasa yang lebih baik,” katanya.

0 comments:

share2