Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 26, 2013

RONDAAN BANTU KURANGKAN JENAYAH


BENTONG – Jumlah kes jenayah di daerah ini yang dilaporkan dari Januari hingga Ogos tahun ini mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu dari 345 kes kepada 312 kes.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor berkata, dalam tempoh itu sebanyak 162 kes berjaya diselesaikan bagi tahun ini dan 166 kes pada tahun lalu.

Menurutnya, antara kes yang menunjukkan penurunan ialah kes jenayah kekerasan iaitu 101 kes tahun lalu kepada 82 kes tahun ini.

“Selain itu, jenayah rogol sebanyak 21 kes tahun lalu menurun kepada 4 kes tahun ini.

“Manakala samun berkawan menggunakan senjata api pula hanya dua kes tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak enam kes,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dekat sini.

Mohamad Mansor berkata, kes curi motosikal juga menurun dari 60 kes kepada 56 kes, kes ragut dari lima kes kepada dua kes, dan kes pecah rumah  waktu malam dari 47 kes kepada 41 kes sahaja.

Katanya, antara kes yang menunjukkan peningkatan ialah kes bunuh iaitu dari satu kes tahun lalu kepada tiga kes tahun ini.

“Kes cabul lima kes berbanding tiga kes tahun lalu, kes samun berkawan tanpa senjata dari 13 kes kepada 22 kes dan curi kereta dari 12 kes kepada 18 kes tahun ini.

“Selain itu kes pecah rumah siang hari pula mencatatkan peningkatan dari 14 kes kepada 20 kes,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, pihaknya akan berusaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan ini bukan sahaja dengan meningkatkan rondaan dan mengatur strategi bersesuaian tetapi turut memperbanyakkan lagi program pencegahan.

Katanya, setiap balai polis disaran menjalankan program pencegahan di kawasan masing-masing dengan melibatkan penyertaan penduduk.

“Hubungan baik dengan penduduk setempat secara tidak langsung dapat membantu proses pencegahan jenayah seterusnya mengekalkan kesejahteraan dan keamanan kawasan,” katanya.

0 comments:

share2