Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 28, 2013

TUTUP PREMIS KOTOR


JERANTUT - Pemilik premis makanan yang tidak mengutamakan aspek kebersihan dikehendaki menghentikan perniagaan buat sementara waktu sehingga dibuktikan bersih, selamat dan bebas daripada serangga perosak terutama tikus.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah akan mengambil tindakan tegas dalam usaha mengekang penularan wabak kencing tikus atau Leptospirosis.

Menurutnya, pemilik premis hanya boleh menjalankan semula operasi perniagaan sehingga mendapat kebenaran daripada dua agensi terbabit.

“PBT perlu sentiasa pantau premis makanan di daerah ini dan memastikan mana-mana premis yang sudah mendapat pengiktirafan gred A supaya kekalkan tahap kebersihan kedai masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen kawalan tikus dan program gotong-royong perdana 1Malaysia di Dataran D’Kilau Court, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa kebersihan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Nordin Wahid dan Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzzaman.

Beliau berkata, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2011 menunjukkan 2,268 kes dilaporkan dengan 55 kematian, 2012 meningkat kepada 3,665 kes dengan 48 kematian dan sehingga 1 Jun lalu, 1,768 kes dengan 18 kematian.

“Merujuk kepada statistik KKM, seramai 121 orang maut akibat wabak kencing tikus ini. Kita jangan hanya harapkan PBT dan KKM saja buat kerja kerana tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

“Saya sokong usaha PBT yang menggalakkan orang ramai tangkap tikus itu kerana usaha ini dapat beri kesedaran kepada masyarakat supaya bekerjasama jaga kebersihan,” katanya.

0 comments:

share2