Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, dewasa ini usaha untuk melemahkan Islam bukan sahaja dilakukan secara berselindung yang natijahnya bagi meletakkan umat Islam dalam kedudukan lemah.
Tegas beliau, yang peliknya ada sebahagian orang Islam masih leka dan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku sekali gus meletakkan Islam mudah diperlekehkan pihak terlibat.
"Lebih parah ada segelintir umat Islam bersekongkol dengan musuh secara sedar yang akan memberi kesan sangat mendalam terhadap kesucian dan perkembangan syiar Islam.
"Malah ada pihak seolah-olah bermimpi di siang hari yang mempertikai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selain cuba menggoncang tiang seri Perlembagaan negara," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan untuk 129 masjid dan surau dalam Parlimen Maran bernilai RM80,000 di sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin; ADUN Chenor Mohd. Ariffin Awang Ismail dan ADUN Luit, Norhidayah Mohd. Shahaimi.
Tegas beliau, sebagai menunjukkan kematangan, semua pihak patut berikrar tidak mempolitikkan mengenai perkara yang telah dipersetujui melalui Perlembagaan seperti soal kedudukan Islam, bumiputera dan sebagainya.
Ismail mengingatkan umat Islam supaya lebih peka dan mengambil tahu tentang cabaran hebat untuk mempertahankan Islam sebagai agama umat manusia berikutan ada pihak lain cuba melemahkan kekuatan Islam.
Mengenai sumbangan itu, beliau berkata, Parlimen Maran telah menjadikannya satu agenda tahunan kepada masjid dan surau supaya ibadat di bulan Ramadan lebih memberi makna kepada orang Islam.
Ismail juga menyarankan umat Islam agar mengambil peluang pada bulan Ramadan minggu hadapan dan memperbanyakkan beribadat serta bersedekah supaya masing-masing mendapat lebih keberkatan Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment