KUALA LUMPUR - Sikap hipokrit pembangkang terserlah selepas kesemua Ahli Parlimen mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen semalam.
Tindakan kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang itu sekali gus membuktikan mereka bersetuju dan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang melayakkan mereka menjadi Ahli Dewan Rakyat.
Perkara itu juga bertentangan dengan objektif penganjuran beberapa siri perhimpunan haram anjuran pembangkang termasuk yang terakhir di ibu negara Sabtu lalu, kononnya bagi menyampaikan mesej Pilihan Raya Umum Ke-13 penuh penipuan.
Selain itu, keputusan Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat turut mengecewakan kira-kira 200 penyokong pembangkang yang berhimpun di luar Parlimen bagi membantah sidang pertama Dewan Rakyat penggal ke-13 yang bermula hari ini.
Sebelum ini, pembangkang terutama wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan mempertimbang memboikot majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam sesi mengangkat sumpah semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengetuai barisan wakil rakyat pembangkang diikuti Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang serta 86 Ahli Parlimen pembangkang lain.
0 comments:
Post a Comment