Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 13, 2012

Sungai Koyan Menjana Ekonomi Setempat

WAN Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyerahkan kerusi roda kepada OKU di Felda Sungai Koyan Tiga di Kuala Lipis

Bandar Sungai Koyan dekat sini yang menjadi pusat pertumbuhan baharu kawasan Felda Gugusan Koyan, akan menjadi hab perniagaan dan pelancongan di kawasan Hulu Jelai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan pesat Sungai Koyan antara usaha transformasi kerajaan negeri mengubah kawasan berstatus pedalaman kepada lokasi semi perbandaran yang lengkap dengan semua kemudahan asas.

Menurutnya, projek premis perniagaan yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu iaitu Arked Majlis Amanah Rakyat, pasar, pusat pengumpulan hasil pertanian, stesen bas, dewan dan gerai diletakkan di bawah penyelenggaraan Majlis Daerah Lipis.

“Pembangunan itu memberi peluang penduduk bergiat aktif dalam sektor perniagaan dan Sungai Koyan menjadi hab tempat berbelanja dalam kalangan penduduk Hulu Jelai, termasuk Orang Asli.

“Kemudahan rangkaian jalan dari Raub dan Kuala Lipis ke Cameron Highlands antara faktor utama pekan ini berkembang maju serta berfungsi sebagai transit kepada semua jenis kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan makanan dan kerusi roda kepada 48 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Felda Sungai Koyan Satu, Dua dan Tiga dekat sini kelmarin.

Sumbangan bernilai RM4,000 itu menerusi Program Sentuhan Akar Umbi (PSAU) untuk golongan warga emas dan OKU di kawasan Felda berkenaan.

Menurut beliau, pembangunan kawasan Sungai Koyan menzahirkan iltizam kerajaan negeri, sekali gus menjadi contoh pembangunan luar bandar yang berjaya dan maju berasaskan sektor perniagaan, pertanian serta pelancongan.

Katanya, beliau berpuas hati dengan pembangunan kemudahan asas di Hulu Jelai dan kini tumpuan akan diberikan terhadap pusat pertumbuhan dan perumahan penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman.

1 comments:

  • Anonymous says:
    January 15, 2012 at 2:19 PM

    Ade silap sikit la dgn kenyataan pd gmbr di atas...ni kat sg koyan 1...baju oren tu pengurus koyan 1, yg baju putih kat blkg tu tok mpat koyan 1....makcik ngn cucu die ni pun org koyan 1....keluarga pemilik kedai ikn yg kat koyan 1 tu

share2