Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 10, 2011

Blogger BN Bersifat Defensif ?


DATUK Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 dan pertemuan dengan para ahli media sosial di Konvensyen Media Sosial baru-baru ini menyatakan bahawa alam maya bakal menjadi ruang yang boleh mempengaruhi pola pengundian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diketahui umum, BN dikatakan membuat kesilapan yang paling besar kerana bertanggapan suratkhabar dan televisyen lebih penting tetapi generasi muda lebih mempercayai SMS dan blog.

Banyak persoalan timbul apabila menganalisis hubungan media sosial dengan politik kepartian negara. Antaranya peranan media sosial ke atas pengguna yang melayari beberapa elemen media sosial; keberkesanan media sosial dalam melahirkan keyakinan dan kepercayaan; bagaimana untuk memenangi perang psikologi di alam maya; agenda setting isu atau pemasaran politik yang bagaimanakah mampu mendekati pengguna.

Soal sama ada gerombolan pemilikan media sosial BN masih di takuk yang sama berbanding dengan tahun 2008; adakah pelayar dikenali profilnya; apakah isu yang dibawa hanya bersifat pusat dan bagaimana pula isu tempatan yang berbeza mengikut 222 kawasan Parlimen?

Kesemua ini adalah cangkuman persoalan faktor penolak dan penarik dalam pembentukan iStrategi@ strategi di alam maya sebagai persiapan BN di PRU 13.

Media sosial merangkumi blog dan blog mikro (twitter), jaringan sosial (facebook), projek kerjasama (Wikipedia), kandungan komuniti (YouTube), Dunia Permainan Virtual (World of Warcraft) dan Dunia Social Virtual (Second Life). Yang dominan dan sering mencuri tumpuan kini adalah facebook, blog dan twitter yang telah melahirkan wartawan dalam kalangan rakyat.

Jika ini persoalannya, di manakah blog pro- BN hari ini? Adakah media sosial pro-BN mampu berhadapan dengan pro-barisan pembangkang yang sudah mula bertapak 12 tahun yang lalu dan mengadakan konvensyen ke atas ICT dan media alam maya ini sebulan lalu?

Bolehkah populariti dijadikan sebagai 'penanda aras' bahawa sokongan sudah kembali? Adakah media sosial kuasaan BN dianggap gah?

Malaysia merupakan antara negara yang dilihat begitu pantas dalam mengekori perkembangan teknologi global.

Mengikut halaman website www.socialbakers.com yang melakukan analisis statistik ke atas halaman website yang popular mengikut negara, kini, terdapat hampir 11,816,200 orang yang memiliki akaun dalam portal facebook meletakkan Malaysia di tangga ke-17 dalam kedudukan pengguna facebook dunia; laman paling popular di Malaysia diikuti dengan YouTube di tangga ke-3 dan Twitter di tangga ke-11.

Dalam kategori, penjenamaan, lima jenama yang paling popular adalah AirAsia (1,213,444), McDonalds Malaysia (904,058), 1Malaysia (794, 956), Golden Screen Cinemas (573,983) dan Pizza Hut Malaysia (519,014). Empat jenama ini semenangnya sudah lama dikenali dalam industri masing-masing tetapi yang menariknya, 1Malaysia yang baru berumur 31 bulan sudah bertapak dalam jenama dunia.

Statistik jaringan sosial halaman ini juga mendapati kemasukan ke facebook adalah 45.17 peratus (%) daripada jumlah populasi negara ini dan 69.91% dari pengguna Internet. Dari faktor demografi pula, kumpulan yang aktif adalah yang berumur antara 18-24 tahun (34%) diikuti dengan kumpulan berumur 25-34 tahun (28%). Dari kumpulan gender, 53% adalah pengguna lelaki dan 47% adalah wanita.

Dari konteks blog pula, ranking yang dikeluarkan oleh www.alexa.com menunjukkan bahawa 65% adalah blog yang condong kepada BN manakala 35% pula kepada PR. Walau bagaimanapun, dalam kelompok lima teratas, ia berpihak kepada barisan pembangkang walaupun dengan tangga pertama dan keempat milik BN [ (papagomo (BN), milosuam (PR), tukartiub (PR), novandri (BN), amenoworld (PR)].

Jika dibandingkan dengan Alexa ranking untuk blog tahun 2010; Tukar Tiub dilihat konsisten dengan berada di tempat keempat manakala House PK@Parpukari di tempat ketiga; PapaGomo di tangga ke-15 dan Dr. Novandri di tangga ke-14. Milo Suam pula ditangga ke-19.

Jika dibandingkan dengan 2008, diakui armycybertroopers BN sudah jauh meningkat tetapi dilemanya adalah sama ada ia akan diterjemah kepada sokongan atau tidak kepada BN. Ini kerana kemunculan armycybertroopers sememangnya jauh bertambah tetapi isu yang dibawa masih bersaing hebat dengan media sosial pro-PR kerana pro-BN ada masanya terlalu bersifat defensif.

Malahan ada sebilangan yang menjadi 'musuh dalam selimut' yang boleh memain peranan merobohkan apa yang sudah terbina hampir 43 bulan sejak Mac 2008. Peruntukan menjadi isu. Blogger perlu dijaga kebajikan; apa berlaku jika mereka kecewa dan berpaling arah?

Berbanding dengan facebook dan blog, twitter dikatakan masih kecil kumpulan pengguna dan pelanggannya. Barangkali, anggaran penggunaan adalah sekitar 800,000 orang.

Tidak dinafikan media sosial mempunyai peranan yang bermakna dan diakui oleh kedua-dua pihak, parti pemerintah mahupun pembangkang. Ia telah mengubah kaedah komunikasi antara parti, calon dengan pengikut tetapi bersifat selektif kerana tidak semua mampu melayarinya secara menyeluruh.

Twitter adalah niche yang semakin hari penggunaannya meningkat. Walaupun begitu, pool Twitter masih sekitar 800,000 pengguna; jauh sedikit daripada 28 juta orang penduduk. Baik BN ataupun pakatan pembangkang, masing-masing sudah menerokai penggunaan facebook sebagai alat kempen dengan memasukkan perbualan melalui video, gambar dan isu dasar.

Blog pula penting dalam komunikasi politik terutama ketika PRU untuk memberikan ruang alternatif kepada penyiaran dalam media konvensional.

Kelemahan lain yang ketara adalah kekurangan blog yang menonjolkan berita dalam bahasa Inggeris untuk mendekati kelompok bukan Melayu dan pengundi bandar kelas atasan dan pertengahan menyebabkan kelompok ini lebih gemar mendekati portal berita seperti Malaysiakini (1), Malaysian Insider (5), Free Malaysia Today, Nutgraph (30), harakahdaily.net (6) dan tranungkite.net (9).

Perang di zon alam maya bukan lagi untuk mencari kebenaran ataupun kesalahan tetapi lebih bersifat untuk membina kepercayaan dalam kalangan pelayar dan pengguna.

Skil manipulasi dan hebahan berterusan digunakan apatah lagi sesiapa yang memiliki informasi dianggap mempunyai kelebihan. Kebanyakan isu dibawa oleh kepimpinan dan dasar BN sendiri sehingga blog-blog ini terpaksa mempertahankan tindakan yang kadang-kadang 'sukar' dipertahankan sehingga 'backfire' kepada mereka.

Jika pun sesuatu isu itu mungkin tidak benar dan bersifat spekulasi, pembohongan dan persepsi semata-mata tetapi ia tetap mempunyai 'nilai' kerana dalam konteks hari ini, ada yang bertanggapan sesiapa yang bijak berbohong akan muncul sebagai wira dan hero sebenar.

Berita atau isu seperti akan dibawa ke sana sini untuk memastikan mendapat hebahan dan publisiti meluas kerana percaya ia boleh mempengaruhi minda, hati dan emosi pengundi.

Yang di bandar akan membawa ke luar bandar; yang anak edar kepada keluarga; yang kawan kepada rakan yang lain. Ia merebak seperti skil cepat kaya piramid.

Apa yang perlu dilakukan apabila kita tidak tahu sama ada ranking menggambarkan 'kepercayaan' sudah dibina dan akan menterjemah kepada sokongan ke atas parti? Barangkali, pengundi yang setia kepada parti akan kembali tetapi media sosial wajar mendekati 'pengundi atas pagar'.

iStrategi merupakan pendekatan holistik untuk proses peremajaan BN dalam PRU Ke- 13. Maka, media sosialnya perlu mengenali tujuan blog dilancar; siapa pelayar; apakah isu yang dekat kepada pelayar; bagaimana membawa keyakinan hati, minda dan emosi; dan di manakah lokasi strategik untuk memastikan kemenangan.

0 comments:

share2