Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang berjaya menjadikan pertandingan Spell Master sebagai medium terbaik mendidik dan melatih generasi muda menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.
Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Bahasa UiTM Pahang, Dr.Kamisah Ariffin berkata, program itu merupakan strategi untuk menarik minat terhadap bahasa Inggeris melalui aktiviti menyeronokkan dan mencabar minda.
''Misi dan visi UiTM adalah melihat lebih ramai generasi muda menguasai bahasa itu supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain," katanya ketika berucap pada program Spell Master 2011 di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini baru-baru ini.
Program anjuran UiTM cawangan Pahang dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Maran itu dirasmikan oleh Pegawai Bahasa Inggeris PPD Maran, Saiful Hisham Yaakob.
Turut hadir, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Mutalib serta dua guru bahasa Inggeris dari Brighton Education iaitu Monica Kirby dan Robert Shepard.
Pengerusi program itu, Fauzi Azmi berkata, seramai 60 murid tahun dua dari 30 sekolah kebangsaan (SK) sekitar daerah ini menyertai pertandingan itu.
''Kualiti peserta semakin meningkat manakala komitmen sekolah sangat baik bagi menonjolkan pengetahuan bahasa Inggeris pelajar mereka adalah terbaik," katanya.
Menurut Fauzi, beliau kagum dengan komitmen para guru yang sentiasa bekerja keras dalam mendidik murid menguasai bahasa tersebut.
Menurutnya, mereka menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan bahasa dan secara tidak langsung meningkatkan mutu pertandingan.
Dalam pada itu beliau memuji usaha Akademi Pengajian Bahasa kerana menganjurkan pertandingan tersebut setiap tahun.
Murid SK Maran, Shatirah Sofi Hassanudin diumumkan sebagai juara pertandingan itu manakala sekolah terbaik disandang oleh SK Tanjung Perang.
0 comments:
Post a Comment