Lepasan siswazah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) disaran bersama membantu kerajaan dalam pembangunan negara dengan menyumbangkan tenaga serta fikiran demi kesejahteraan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, golongan itu merupakan pelapis kepimpinan negara kerana memiliki pengetahuan dan kemahiran yang dikutip semasa menuntut di universiti masing-masing.
''Justeru itu, saya berharap mereka dapat membantu penduduk setempat khususnya menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu merancang pembangunan selain menjelaskan dasar kerajaan mengenai sesuatu perkara.
''Peranan ini sekali gus memacu pembangunan modal insan rakyat daripada pelbagai perspektif dan maklumat dapat disampaikan ke peringkat akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Ilmiah Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, di sini baru-baru ini.
Program disertai oleh 34 penuntut anjuran Persatuan Mahasiswa UUM Sintok itu membabitkan Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Makan Malam bersama keluarga angkat dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) di Taman Pelangi di sini.
Menurut Lau, selaku golongan intelek, mereka perlu berperanan secara proaktif dalam mengembangkan maklumat tentang aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
''Golongan itu sepatutnya bersama-sama membantu kerajaan negeri sebagai pembimbing dan mentor kepada generasi muda di kawasan sasaran, iaitu di luar bandar yang turut terlibat dengan gejala sosial," katanya.
Justeru itu, beliau memuji program yang dilakukan oleh penuntut UUM tersebut kerana berjaya menzahirkan kerjasama erat bersama dengan masyarakat setempat.
Katanya, penyertaan mereka sebagai penggerak di dalam program modal insan yang menitikberatkan soal amanah, taat kepada pemerintah dan agama dapat membina kekuatan penduduk setempat khususnya generasi muda hari ini.
0 comments:
Post a Comment