Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 8, 2011

Perangi Kaum Lut Diakhir Zaman


REAKSI awam mengenai program Seksualiti Merdeka akhirnya reda apabila Polis Diraja Malaysia mengeluarkan kenyataan perhimpunan itu adalah haram dan kemudiannya penganjur membatalkannya walaupun perjumpaan yang sama berjaya diadakan pada 2008.

Pengharaman itu kerana ia bertentangan dengan undang-undang negara, tetapi ada sedikit keraguan dalam kalangan pendokongnya apabila melihat tegahan tersebut sebagai tidak menghormati kebebasan individu sehingga ada andaian bahawa homoseksual adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia.

Pandangan itu sebenarnya adalah sebuah premis yang keliru, kerana seorang peguam menulis dengan nada menyindirnya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dijadikan isu kerana masalah rasuah adalah lebih serius berbanding kerosakan budaya yang dikaitkan dengan golongan yang celaru dan hilang jatidiri itu.

Menurut pandangan peguam yang memperjuangkan kebebasan itu, “kita mudah mengharamkan dan menghalalkan sesuatu tanpa berfikir panjang dan mengambil kira situasi dan keadaan semasa. Jika ia tidak halal pasti ia haram dan begitulah sebaliknya. Ketahuilah Islam lebih luas dari masjid dan surau kita.” (Afiq M Noor, Catatan Ringkas: Islam dan Homoseksualiti, Malaysiakini, 5 November 2011).

Alasan beliau, mudah, kerana Islam merupakan agama yang diasaskan prinsip kasih sayang, maka mengharamkan homoseksual itu adalah tidak wajar kerana ia boleh mengaibkan mereka yang memangnya dilahirkan secara tabienya begitu.

Kesimpulan itu, sebenarnya menggunakan premis yang salah, tidak melihat Islam dengan jelasnya menentang sebarang bentuk maksiat, termasuk berzina apatah lagi hubungan seks sejenis, berdasarkan al-Quran mengenai kisah manusia di zaman Nabi Luth a.s. dan peraturan dalam pergaulan antara muhrim dan bukan muhrim.

Memang benar al-Qur‘an bukanlah sebuah kitab hukum kerana daripada sejumlah lebih 6,000 ayat yang ada, hanyalah sekitar 81 ayat merupakan ayat-ayat hukum yang kemudiannya dilembagakan sebagai perimbangan haram dan halal. Maka, disebabkan zina itu termasuk dosa besar, ia dijelaskan dengan begitu terang, bahawa seseorang yang berzina itu perlu dihukum termasuk rejam sampai mati.

Natijah peguam tersebut amat mudah kerana menganggap pengharaman dan kemarahan umat Islam terhadap Seksualiti Merdeka hanyalah sebuah petunjuk yang tidak menghormati tabie, kerana homoseksual itu adalah sesuatu yang semulajadi. Benarkah pandangan itu?

Allah SWT menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dalam keadaan berpasangan-pasangan, iaitu lelaki dan wanita. Dari segi fitrahnya sudah jelas, tidak ada lelaki separuh dan separuh lagi wanita. Ini bermakna secara fizikal, seseorang lelaki adalah mereka yang mempunyai alat kelamin yang berlainan dengan wanita.

Secara saintifiknya, ada pemerhatian ilmiah dibuat ke atas mereka yang termasuk dalam kategori ketiga atau keempat (lesbian dan gay, maknyah atau pondan dan bapok atau khunsa). Lesbian asalnya diambil dari nama pulau iaitu Lesbos, terletak di tengah Laut Aegen. Pulau itu hanya dihuni oleh wanita. Sesiapa yang lahir di situ, di akhir namanya diletakkan nama Lesbos, dan dari situlah penghuninya dipanggil lesbian.

Konsep itu kemudiannya berkembang menjadi jalinan seks sesama wanita. Perlakuan ini turut mempengaruhi naluri sehingga tidak melihat bahawa keperluan untuk hidup adalah atas dasar hubungan sepasang manusia yang kelainan jantina.

Ini mungkin disebabkan oleh tekanan persekitaran yang mempengaruhi kecenderungan otak sehingga memberikan kesimpulan bahawa lelaki adalah pasangan yang banyak mendatangkan kesan negatif.

Istilah gay pula merujuk kepada tabiat seks sejenis yang diamalkan oleh lelaki. Gay pada awalnya bermaksud “ceria”, “gembira” atau “terang” akhirnya disebabkan adanya perasaan sesama lelaki dianggap sebagai sesuatu menggembirakan, ia bertukar kepada penarikan seks sesama lelaki.

Istilah ini sebenarnya merupakan dua struktur yang dikhaskan untuk menggambarkan orientasi seksual seseorang dalam sifat dan jenis homoseksual.

Istilah homoseksual diperkenalkan oleh seorang penulis keturunan Austria, Karl-Maria Kertbeny dalam sebuah risalah yang diterbitkan di Jerman pada 1869. Homoseksual merupakan gabungan dua perkataan Yunani, iaitu homo yang bermaksud “sama” dan seks yang bererti seks.

Berdasarkan pengalaman sejarah kuno, Charlotte Higgins dalam buku It‘s All Greek to Me (2008), perilaku homoseksual sudah pun berlaku dalam negara polis iaitu Sparta. Pada waktu itu, lelaki diwajibkan menjalani kerahan tenaga dan mereka tidak dibenarkan berkahwin. Dalam situasi itulah perilaku tertariknya seks sesama jantina terjadi. Ia berbeza dengan Athens, yang mengamalkan prinsip kebebasan.

Di Athens, perlakuan seks sesama jantina sukar dikesan, kerana mereka mengamalkan kehidupan bebas, iaitu bebas memilih pasangan yang berlainan jantina. Mereka mementingkan prinsip kebebasan, kerana boleh memiliki seberapa ramai wanita asalkan pemilikan tidak berdasarkan paksaan.

Menerusi gabungan dua perspektif itulah kemudiannya homoseksual dilihat sebagai perlakuan seks sesama jantina dengan syarat dilakukan bukan dalam terpaksa. Prinsip ini kemudiannya berkembang hingga ke hari ini, dan dijadikan asas mendesak undang-undang sesebuah negara agar menghalalkan perkahwinan sesama jenis.

Berdasarkan kajian saintifik, faktor genetik bukanlah penyebab utama lahirnya pengamal homoseksual. Ia berkait rapat dengan persekitaran hormon dihasilkan oleh badan seseorang sehingga boleh mengawal struktur otak. Misalnya kajian Simon LeVay pada 1991, kelompok kecil neuron pada anterior hypothalamus mengawal tabiat seksual dua kali ganda pada imbasan otak homoseksual berbanding mereka yang mengamalkan seks kelainan jantina.

Ekoran berkembangnya fahaman kebebasan, orientasi seks sejenis dijelmakan melalui pelbagai tulisan erotik dihasilkan oleh penulis-penulis yang merasakan dirinya tertekan oleh persekitaran lazim, kerana menganggap kelaziman itu sesuatu yang amat membosankan.

Dalam analisis Christopher Bram, Mapping the Territory (2009), The flowering of gay and lesbian writing has been astounding, in an literary explosion that is positively uncanny in an age that many critics consider postliterate yang berlaku dengan hebatnya dalam tahun 1970-an.

Dalam tempoh itu, beberapa universiti di Amerika Syarikat memulakan pengajian dalam bidang budaya gay dan lesbian manakala Universiti Harvard memulakannya sebagai satu pengkhususan dalam bidang sosiologi dan psikologi pada akhir 1990-an.

Keadaan itu, akhirnya memaksa negara Barat membuat penelitian semula mengenai kedudukan undang-undang sehinggalah membenarkan perkahwinan sejenis secara meluas pada pertengahan 2011.

Islam melarang keras perkahwinan sejenis berdasarkan ayat 80 surah al-Araf: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Kemudiannya, Allah menyambungnya dalam ayat ke-81: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

Seharusnya peguam yang mendakwa pejuang kebebasan itu meneliti dengan mendalam pengisahan yang berlaku pada zaman Nabi Luth a.s. sebelum membuat kesimpulan berdasarkan perspektif yang terkeluar daripada al-Quran yang dianggapnya bukan sebagai kitab hukum.

Homoseksual sebenarnya disumbangkan oleh persekitaran kekeluargaan, di mana seseorang itu pernah mengalami trauma dikasari oleh anggota keluarga akhirnya menyebabkan rasa benci kepada kelainan jantina. Predominan dalam pemilihan identiti itu juga berlaku dalam persekitaran perhubungan kekeluargaan yang renggang.

Tabiat pergaulan dan persekitaran menjadi faktor terbesar menyumbang kepada kecelaruan identiti di mana salah seorang anggota keluarga tidak menunjukkan kasih sayang dan sikap ibu bapa yang merasakan penjelasan mengenai seks adalah sesuatu yang taboo.

Secara jelasnya, faktor pergaulan yang amat besar mempengaruhi perilaku seksual dalam kalangan mereka yang kehilangan jatidiri dan kecelaruan psikologi, maka itu menyumbang kepada kurang keyakinan diri terhadap keupayaan seks.

Tindakan polis mengharamkan perhimpunan tersebut amat wajar manakala desakan meluas masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk dikenakan tindakan tegas kepada penganjur bukanlah bertentangan dengan prinsip kebebasan. Mereka sebenarnya ingin memugarkan hakikat kebebasan individu agar kehidupannya lebih beradab dan bermoral.

0 comments:

share2