Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 20, 2011

Mengubah Persepsi Orang Asli


Usaha meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli menjadi cabaran bagi setiap warga pendidik kerana ia memerlukan pendekatan berbeza di samping tahap kesabaran tinggi.

Namun, semua itu tidak menjadi halangan bagi warga pendidik dan sukarelawan yang berkhidmat dalam program Empower untuk meningkatkan pencapaian pelajar Orang Asli dalam pendidikan dan juga kemahiran.

Program Empower adalah sebahagian daripada projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk melahirkan modal insan di kalangan penduduk miskin dan meningkatkan pencapaian pelajar luar bandar.

Sejak dilancarkan di daerah Bentong dua tahun lalu, pelajar yang dipilih mengikuti program ini lulus cemerlang dengan pencapaian 30 peratus dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kejayaan itu mendorong ECER meluaskan program tersebut di kalangan pelajar Orang Asli di daerah Lipis menerusi Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM).

Pengurus Projek Empower, K. Suraindran memberitahu, pengurusan ECER tidak mahu masyarakat Orang Asli di Pahang ketinggalan dan mereka juga perlu diberikan peluang dan peranan untuk sama-sama melibatkan diri dalam ECER.

''Bagi peringkat permulaan, penglibatan masyarakat Orang Asli bermula dengan program motivasi di kalangan 300 pelajar di daerah Lipis baru-baru ini," kata K. Suraindran kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kata beliau, kesemua mereka merupakan pelajar tingkatan dua dan tingkatan empat dari sekolah menengah yang dipilih menyertai program Pembangunan Sahsiah Pelajar Orang Asli dengan bertemakan ''Saya Juga Dikasihi dan Dibimbingi'.

Menerusi program yang dijalankan selama sehari itu, pelajar Orang Asli didedahkan dengan program motivasi dan pelbagai modul bagi membentuk jati diri agar mereka tidak berasa rendah diri sebaliknya boleh berjaya sama seperti rakan-rakan mereka lain.

Menurut beliau, modul pendidikan pelajar Orang Asli tidak sama dengan teknik pembelajaran di kalangan pelajar Melayu, India dan Cina yang dipilih menyertai kelas tuisyen dan juga program motivasi yang diadakan sebelum ini.

''Program Empower telah menggunakan pendekatan yang berbeza sebelum ini dan hasil motivasi tersebut kami mendapati ia secara tidak langsung berjaya mengubah minda dan persepsi pelajar Orang Asli terhadap kepentingan pelajaran dan kemahiran.

''Mereka menjadi lebih bersemangat dan tidak takut untuk menghadapi cabaran serta ingin berjaya sama seperti pelajar lain," kata Suraindran.

Tambahnya, walaupun tahap pendidikan pelajar Orang Asli jauh lebih rendah daripada pelajar biasa tetapi mereka boleh dibimbing dan didedahkan dengan teknik pembelajaran yang sesuai dengan keupayaan minda mereka.

Pelajar Orang Asli, kata beliau, juga boleh mencapai kejayaan dalam akademik dan kemahiran jika diberikan motivasi yang berterusan, harapan dan sokongan moral.

Beliau yakin menerusi pendekatan dan bimbingan itu kehidupan masyarakat Orang Asli boleh berubah dan menjadi lebih baik seperti rakyat negara ini yang lain.

''Kami menggunakan pendekatan atau formula 'kasih sayang' dan hasilnya ia dapat menanam semangat dan minat mereka untuk belajar.

''Program ini juga berjaya mengubah sikap mereka daripada diselubungi perasaan malu dan rendah diri kepada perasaan ingin berubah dan bercita-cita untuk berjaya dalam pelajaran," kata beliau.

Sementara itu, beberapa pelajar Orang Asli yang dipilih menyertai program tersebut melahirkan rasa gembira kerana mereka turut diberikan motivasi dan pendedahan agar lebih bersemangat untuk berjaya.

Salah seorang pelajar, Nage Yok Mud, 13, dari Kampung Sindrok berkata, program itu berjaya menyuntik semangat baru dalam usahanya mencapai kejayaan menerusi pendidikan.

Nage, anak ke-11 daripada 13 adik-beradik, yang bercita-cita untuk menjadi guru memberitahu, masyarakat Orang Asli juga boleh berjaya jika mereka mendapat bimbingan dan pendedahan yang betul.

''Sebelum ini, saya dan kawan-kawan tidak pernah mendapat pendedahan seperti ini yang mampu memberikan semangat kepada kami agar menjadi insan yang berjaya seperti orang lain.

''Saya percaya anak Orang Asli mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kejayaan jika diberikan motivasi seperti program Empower," kata Nage.

Rakannya, Hamizan Shafie, 14, memberitahu, dia berasa cukup seronok dapat menyertai pelbagai aktiviti dan kuiz yang disediakan menerusi program tersebut.

''Program ini memberikan semangat dan pendedahan agar kami juga boleh berjaya dengan syarat perlu belajar bersungguh-sungguh kerana peluang untuk berjaya ada pada semua orang.

''Selama ini yang menjadikan halangan untuk kami berjaya kerana kurang mendapat bimbingan dan pendedahan yang betul," kata Hamizan.

Bagi Akira Inas Sembunyi, 13, program Saya Juga Dikasihi dan Dibimbingi perlu diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai pelajar Orang Asli dari daerah lain.

''Saya rasa bertuah kerana didedahkan dengan program ini yang mampu memberikan satu semangat baru agar kami berani berjuang untuk mencapai kejayaan menerusi pendidikan dan kemahiran.

''Sebelum ini, kami berasa malu dan tidak ada motivasi langsung tetapi setelah melalui program pembangunan sahsiah dan bimbingan kerjaya, perasaan malu dan takut sudah tidak ada lagi dalam jiwa kami," kata Akira Inas yang bercita-cita untuk menjadi pegawai polis.

Seorang lagi pelajar Orang Asli, Ami Yok Am, 14, berkata, kesemua program tersebut menuntut anak-anak Orang Asli menjadi lebih berani membawa perubahan agar kehidupan mereka menjadi lebih baik pada masa depan.

''Program pembangunan personaliti dan kerjaya diri memberikan kami pendedahan supaya mampu menguruskan diri secara sistematik dan berdikari," kata Ami dari Kampung Regang.

0 comments:

share2