Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 18, 2011

Memperkasa Sukan Di Sekolah


Satu ketika dahulu sukan merupakan aktiviti yang penting bukan hanya untuk kokurikulum dalam sekolah bahkan program kemasyarakatan.

Namun sejak kebelakangan ini, aktiviti sukan di kalangan pelajar sekolah semakin berkurangan kerana segelintir mereka terlalu memberi perhatian kepada akademik sehingga kurang cenderung untuk bersukan.

Melihat situasi itu, Kementerian Pelajaran menjalankan program transformasi pendidikan menerusi Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) yang akan berkuat kuasa sepenuhnya nanti.

Perkara itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyatakan dasar 1M1S akan mendapat sokongan ibu bapa bagi usaha membentuk modal insan yang holistik.

Ketika merasmikan Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Kedah awal tahun ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu untuk tingkatkan prestasi pelajar bukan hanya dari segi akademik tetapi juga kokurikulum.

Dasar yang mendapat reaksi positif warga pendidikan itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sukan ke peringkat sekolah.

Melalui penglibatan dalam bidang sukan, negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai semangat untuk bertanding dan bersaing secara sihat.

Justeru, itu, seramai 224 murid dan pelajar menyertai Kem 1M1S anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut di Air Tenang Resort Janda Baik di sini pada 6 hingga 8 Oktober lalu.

Program selama tiga hari itu melibatkan 128 pelajar sekolah menengah dan 96 murid sekolah rendah dari seluruh daerah tersebut.

Penyelia Unit Sukan PPD Jerantut, Mohd. Supian Mohd. Kasim berkata, semua peserta dipilih oleh pihak sekolah masing-masing melibatkan empat murid sekolah rendah dan lapan pelajar sekolah menengah.

"Program itu diadakan selama tiga hari dan peserta didedahkan dengan setiap jenis sukan, organisasi kelab dan pengubahsuaian permainan oleh guru yang bertindak sebagai jurulatih," katanya pada majlis penutup program tersebut baru-baru ini.

Mohd. Supian berkata, semua peserta dari sekolah rendah dan menengah digabungkan mengikut kumpulan masing-masing agar mereka dapat berkenalan dan berkomunikasi dengan baik.

Menurutnya, aktiviti pertama yang dijalankan adalah Pengenalan Pengurusan Kelab iaitu pendedahan kepada peserta mengenai organisasi sesebuah kelab sukan serta fungsi setiap pelajar berdasarkan jawatan yang disandang oleh mereka.

"Selepas mendengar ceramah daripada jurulatih, semua peserta kemudian membuat latihan dalam kumpulan bagi membentuk satu organisasi lengkap berdasarkan kelab sukan dipilih dan seterusnya membuat pembentangan kepada ahli kumpulan lain," ujarnya.

Kata Mohd. Supian lagi, peserta kemudiannya diberi penerangan mengenai asas permainan terutama bagi sukan bola sepak, badminton, bola jaring, sepaktakraw dan hoki.

Tambahnya, mereka juga diberi peluang bermain semua jenis permainan tersebut secara bergilir-gilir agar mereka mendapat pengetahuan serta kemahiran yang akan digunakan apabila kembali ke sekolah nanti.

Jelasnya, pada masa yang sama pihaknya turut memberi penerangan mengenai asas pemakanan serta kecederaan dalam sukan.

Beliau berharap para peserta akan menjadi duta sukan dan mengaplikasikan kemahiran yang mereka perolehi melalui kem itu di sekolah masing-masing.

0 comments:

share2