Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 21, 2011

Penderitaan Keluarga Malang Mendapat Pembelaan


Tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak tidak ternilai dan tiada putusnya.

Itulah nasib yang ditanggung oleh pasangan Aziz Mamat dan isterinya, Wan Rubiah Wan Mustaffa apabila anak mereka, Mohd. Shahrulnizam, 21, yang sebelum ini normal kini menjadi orang kurang upaya (OKU) dalam sekelip mata.

Menurut Wan Rubiah, keadaan anaknya berubah berikutan terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 8 Julai 2009 apabila kereta yang dipandunya terbabas di Pasar Borong Bandar Tun Razak di Maran.

Katanya, anak sulung daripada lima beradik itu terlantar koma selama tiga bulan di hospital selepas kemalangan tersebut.

''Saya bersyukur dia selamat, tetapi terpaksa menanggung kebajikannya kerana tidak dapat bergerak dan hilang daya ingatan," katanya kepada pemberita di kuarters Felda Lepar Utara Enam dekat sini, baru-baru ini.

Bagi Aziz pula, ketika koma, anaknya mengalami demam panas dan menjadi lumpuh dari paras pinggang hingga ke bawah.

''Saya tidak tahu nasib masa depannya kerana daya ingatannya turut hilang, manakala kaki kanannya tidak boleh dibengkokkan," katanya yang tabah menjaga anaknya itu.

Jelasnya, perbelanjaan menjaga anaknya agak tinggi kerana perlu menyediakan keperluan lampin pakai buang, susu dan berulang alik ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Lepar Utara 3 dan pengurusan Kilang Sawit Felda Lepar Utara 6 tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Ahli JKKR Lepar Utara Tiga, Othman Saari berkata, pihaknya bersama pengurusan kilang tersebut memohon kepada wakil rakyat kawasan itu mendapatkan kerusi roda dan menguruskan bantuan bulanan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.

Pengurus kilang tersebut, Mohd. Nor Latiff, berkata, pihak pengurusan tidak mengabaikan kebajikan kakitangannya dan berusaha akan membantu kebajikan keluarga tersebut.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan kewangan menerusi akaun Maybank Aziz bernombor 156741292710.

0 comments:

share2