Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 30, 2020

[KUANTAN] PBT ADA KUASA TUTUP PREMIS INGKAR SOP







Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengenakan tindakan menutup premis perniagaan, sekiranya mendapati mana-mana premis melanggar had masa operasi dan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, arahan penutupan premis selama tiga hari dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua pula tujuh hari dan 14 hari penutupan premis bagi kesalahan ketiga.

"Penguatkuasaan tindakan ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Ketika ini, kadar jangkitan koronovirus (Covid-19) di Pahang adalah terkawal, justeru kerajaan bersetuju untuk mengenakan langkah tambahan PKPP yang berkuat kuasa serta-merta dalam usaha mengekang penularan wabak itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana premis yang didapati mempunyai kes positif Covid-19 akan ditutup selama tiga hari untuk kerja-kerja sanitasi.

Jelasnya, premis yang dihadiri oleh kontak rapat kes positif Covid-19 melebihi 10 peratus akan diarahkan tutup selama 14 hari.

Menyentuh mengenai majlis kenduri atau keraian dan perhimpunan, Sallehuddin berkata, majlis itu boleh diadakan tetapi perlu dihadkan kepada 100 orang pada satu-satu masa.

Menurutnya, pihaknya, PBT dan polis akan melakukan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuk tangkapan terhadap penganjur atau tuan majlis, jika melanggar SOP

"Bagi kenduri perkahwinan, penganjur atau tuan rumah hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu untuk mengadakan majlis kenduri kahwin menggunakan borang yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) melalui Pejabat Agama Daerah masing-masing.

"Untuk upacara keraian perkahwinan bukan Islam, permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing," katanya.

Beliau menegaskan, PBT akan membuat pemantauan, pemeriksaan ke atas setiap premis perniagaan dan melaksanakan penarafan bintang bagi menggalakkan pematuhan SOP di sepanjang tempoh PKPP bermula hari ini.

0 comments:

share2