KENYATAAN MEDIA
Maklum-balas Mengenai Bantahan Penduduk Ekoran Aktiviti Pembalakan Sungai Gapoi, Bentong
Aktiviti pembalakan kemudiannya
diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melalui kelulusan
secara dasar pada tahun 2013 dan MMK pada tahun 2015 melibatkan empat (4) lesen
berkeluasan 257.5 hektar yang dilaksana secara berperingkat bermula pada 1
Disember 2019 sehingga kini.
Keempat-empat kawasan lesen ini
terletak berhampiran antara satu sama lain, dan berkongsi balai pemeriksaan
hutan sementara, matau serta penempatan pekerja.
Tinjauan pada 1 September 2020
juga mendapati, dakwaan bahawa aktiviti pembalakan di kawasan ini telah
menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong adalah kurang tepat, kerana air
sungai tersebut masih jernih.
Walaupun kawasan ini melibatkan
aktiviti pembalakan secara tebang habis tetapi JPNP menetapkan syarat supaya
kawasan zon penampan alur air untuk sungai masih tidak dibenarkan aktiviti
penebangan pokok.
Tinjauan juga mendapati pelesen
masih mematuhi syarat-syarat ini cuma sebahagian kecil kawasan sungai yang
terdapat sisa pembalakan di dalamnya.
Tinjauan juga dibuat di Loji
Rawatan Air (LRA) Sungai Gapoi dan mendapati air sungai masih jernih dan dalam,
khususnya di bahagian muka sauknya. Temubual dengan pekerja Pengurusan Air
Pahang Bhd (PAIP) di situ turut mengesahkan, tiada kes penutupan operasi loji akibat
pencemaran sungai.
Laporan aduan awam yang diterima
JPNP juga telah disemak dan mendapati tiada aduan mahupun bantahan terutamanya
oleh masyarakat Orang Asli Kampung Gapoi iaitu pertempatan paling hampir dengan
kawasan pembalakan ini.
Sungguhpun begitu, JPNP
mengulangi ingatannya kepada pihak pelesen supaya mengambil tindakan
penyelenggaraan lebih kerap terutamanya yang melibatkan jalan pengeluaran hutan
dan zon penampan alur air, demi mengurangkan impak kepada alam sekitar kawasan
terlibat.
Pelesen juga telah diarahkan
supaya memperbanyakkan papan tanda berkaitan lesen pengusahasilan yang aktif di
kawasan ini, bagi mengelakkan persepsi negatif oleh orang awam.
Dikeluarkan oleh ;
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
(JPNP)
Kompleks Tun Razak (KOMTUR)
Indera Mahkota
Kuantan
5 September 2020
KUANTAN - Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Raub menafikan
mengadakan rundingan dengan pekebun durian musang king Raub dalam isu
penerokaan haram seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan kelmarin.
PTD Raub dalam kenyataan semalam memberitahu kesal dengan
dakwaan pekebun berkenaan seperti yang disiarkan dalam dua akhbar terbabit
"Tiada sebarang rundingan dibuat pada Rabu lalu antara
pihak kita dengan wakil pekebun durian musang king yang menceroboh tanah
kerajaan negeri," katanya.
Kelmarin sebuah akhbar melaporkan pengusaha kebun durian
musang king yang mengusahakan tanaman di atas tanah kerajaan dan hutan simpan
di Raub mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri bagi mempertahankan kebun
mereka yang diusahakan lebih 40 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Chang
Yee Chin berkata, kenyataan yang dikeluarkan akhbar berkenaan tidak benar.
Katanya, penyiaran artikel itu telah mencetuskan kekeliruan
dan salah faham.
"Setakat hari ini, saya belum lagi berunding atau
mengadakan temu janji dengan Pejabat Tanah dan Galian Raub.
"Saya pun tidak pernah ditemu bual daripada akhbar
berkenaan," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
RAUB - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi amaran akan mengadakan himpunan besar-besaran di kawasan pekebun haram sekiranya golongan itu dibela.
"Kami tidak teragak-agak untuk mengadakan himpunan
lebih besar di kawasan terlibat.
"Himpunan hari ini adalah mesej jelas dan permulaan.
Andai kata ada lagi gerakan membela mereka, kami tidak teragak-agak mengadakan
himpunan lebih besar di kawasan terlibat (peneroka haram),' katanya kepada
pemberita.
Beliau antara lapan wakil yang terbabit dalam Himpunan Anti
Peneroka Tanah Haram Raub dan Penentang Tulisan Jawi yang diadakan di
pekarangan Rumah Rehat Raub di sini.
Antara yang turut serta, ialah Generasi Warisan Kebangsaan
(Generasi), Gerakan Pembela Ummah, Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah
Malaysia, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Tindakan
Sosial Negeri Pahang.
Fadzli juga berharap ahli politik tidak masuk campur tangan membela pekebun haram terbabit.
"Kita berharap pihak DAP sedar ada benda boleh
dipolitikkan ada tidak sesuai walaupun kita tahu tindakan mereka mungkin sebab
pilihan raya makin hampir. Tapi atas dasar apa sekali pun untuk memenangi hati
pengundi di kawasan mereka, itu perkara lain.
"Tapi soal tanah, tidak bolehlah perkara haram
dihalalkan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berdiri teguh di belakang Menteri
Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berani dan tegas terhadap
pekebun haram walaupun baru dua tahun menjadi Menteri Besar.
Sementara itu, Presiden Generasi, Roslan Md Esa menyifatkan
situasi sama pernah berlaku di Matau, Bandar Pusat Jengka beberapa tahun lalu.
"Penduduk di penempatan tersebut yang mendiami dan
membina rumah puluhan tahun, akhir sekali kerajaan tolak, mereka akur. Soalan
saya, kenapa pekebun ini ini tidak akur, ajak kerajaan berunding seolah-olah
untuk dapatkan situasi menang-menang.
"Jadi saya rasa di Matau kalau kerajaan boleh bertindak
tegas terhadap orang Melayu, samalah cerita di sini cuma ia tanaman iaitu
musang king.
"Kita sokong kerajaan negeri dan jangan bimbang, NGO
dan rakyat akan bersama untuk tegakkan keadilan," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN .
KUANTAN: Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur
apabila kutipan zakat Negeri Pahang masih berada di landasan yang baik meskipun
ekonomi dunia menghadapi zaman kemelesetan akibat pendamik COVID-19.
Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat
Resam Melayu Pahang bertitah, sehingga hujung Ogos 2020, kutipan zakat Negeri
Pahang mengalami peningkatan 1.5 peratus atau RM1.2 juta berbanding tempoh yang
sama tahun 2019, manakala bilangan pembayar meningkat sebanyak 1,014 orang
berbanding tahun 2019.
Baginda bertitah, sehingga 31 Ogos 2020, seramai 81,104
pembayar zakat harta telah membayar zakat dengan jumlah RM81.4 juta berbanding
80,090 pembayar zakat harta dengan jumlah RM79.9 juta dalam tempoh yang sama
tahun 2019 termasuk badan-badan korporat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku
Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Pengarah Tabung Haji Negeri
Pahang, Puan Hajjah Musalimah Mustafa pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan
Badan-Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan.
“InsyaAllah dengan pembayaran zakat beberapa badan korporat
pada hari ini ianya akan melonjakkan lagi prestasi kutipan zakat untuk tahun
ini,” titah baginda.
Terdahulu, KDYMM Tuanku berkenan menerima serahan zakat
perniagaan lapan badan-badan korporat dengan jumlah RM12,839,426.67 yang juga
merupakan majlis penyerahan zakat kali pertama selepas enam bulan menjalani
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Istana Abdulaziz di sini.
Lapan badan korporat yang menyerahkan zakat perniagaan itu
adalah Lembaga Tabung Haji dengan jumlah RM4,715,801.28; Pertubuhan Peladang
Kebangsaan (NAFAS) dengan jumlah RM3,104,800.09; Tenaga Nasional Berhad
(RM2,369,647.81); Kumpulan Bank Rakyat (RM1,030,573); Bank Pembangunan Malaysia
Berhad (RM834,000); Bank Islam Malaysia Berhad (RM365,000); QSR Brands Malaysia
Holding Berhad (RM259,027) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM160,577.49).
KDYMM Tuanku bertitah, penyumbang terbesar bagi kutipan
zakat adalah daripada sektor potongan gaji iaitu sebanyak RM41.1 juta dan bayaran
daripada badan-badan korporat serta sektor perniagaan dengan sumbangan sebanyak
RM20 juta (tidak termasuk bayaran hari ini).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Ketua Pegawai Korporat TNB, YBhg Datuk Wira Roslan Ab Rahman pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan-Badan Korporat di Istana Abdulaziz
.
Titah baginda, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah
mengenal pasti lima bidang utama yang perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran
strategi kutipan zakat tahun ini iaitu Z-Barakah (Zakat Pendapatan), Z-Step
(Zakat Simpanan, Ternakan, Emas dan Pertanian), Z-Tijari (Zakat Perniagaan), Z-ProDak
(Zakat Dakwah dan Promosi) serta Z-Smart (Aplikasi ICT).
Baginda juga bertitah, PKZ terus komited melaksanakan
program Wajib Taksir Zakat (WTZ) dengan menghantar borang taksiran zakat
pendapatan kepada 30,361 kakitangan berjawatan tetap yang berkhidmat di Negeri
Pahang.
“Dengan sokongan badan-badan korporat dan juga orang ramai,
insyaAllah PKZ Pahang menjangkakan akan berjaya mencapai sasaran kutipan zakat
bagi tahun 2020 iaitu sebanyak RM150 juta dan pembayar seramai 95,000 orang.
“Melalui peningkatan amaun kutipan zakat ini, insyaAllah
akan dapat dinikmati oleh para asnaf melalui peningkatan agihan yang
dilaksanakan oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
(MUIP),” titah baginda.
SUMBER –SINAR HARIAN / PAHANGMEDIA
PAHANG TIDAK BERKOMPROMI DENGAN PENCEROBOHAN TANAH HARAM MUSANG KING
Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Zainal Azman Ab Aziz
pada 28 Ogos yang lalu membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh
111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis
pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun berkenaan yang dikeluarkan oleh
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,
ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.
Sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh
Mahkamah Tinggi, Kerajaan Negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua
tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan.
Dalam hal ini saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri
tiada berhasrat untuk menindas pekebun-pekebun terbabit. Sebaliknya ia sekadar
bertindak sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang dan pekebun yang
terbabit sewajarnya menjadi warga yang patuh undang-undang dengan mengosongkan
tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini.
Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap, kerjasama dapat
diberikan oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan petani-petani haram
berkaitan penanaman durian Musang King di daerah Raub.
DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
1 September 2020
SUMBER :
RAUB - Kelab Anak Raub menyokong sepenuhnya tindakan
kerajaan negeri ke atas semua pekebun durian haram musang king di daerah itu.
Presidennya, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kelab itu yang
memiliki lebih 1,000 ahli berdiri teguh dengan kepimpinan kerajaan negeri yang
diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
"Masalah ini telah berlarutan dan tindakan itu tepat
kerana bukan sahaja merugikan kerajaan negeri malah penduduk di Raub.
"Kami amat berharap tindakan tegas akan diambil kepada
mereka yang ingkar dengan arahan dan penguatkuasaan ini,"katanya kepada
Sinar Harian.
Menurutnya, tindakan beberapa pemimpin yang cuba menangguk
di air keruh diselar kerana mempolitikkan isu tersebut.
"Isu ini perlu dilihat dengan rasional dan jangan cuba
bermain api malah satu himpunan aman anjuran Gabungan Pertubuhan Melayu Islam
Raub membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam dari Pahang akan
diadakan pada 3 September ini di perkarangan Rumah Rehat Raub.
"Himpunan yang diberikan nama SeTanah Melayu(Jangan
Cabar Hak Kami) merupakan satu mesej yang jelas iaitu kami benci politik
perkauman," tegasnya.
SUMBER : SINAR HARIAN

Sambutan Bulan Kemerdekaan 2020 Peringkat Negeri Pahang diadakan secara tertutup di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa) di sini semalam dengan norma baharu ketika negara masih menangani pandemik koronavirus (Covid-19).
Kehadiran tetamu jemputan disambut dengan pemeriksaan suhu dan kesihatan oleh pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sebelum dibenarkan memasuki pekarangan Sukpa selain tempat duduk yang sudah ditentukan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang berkenan menyempurnakan atur cara Kawalan Kehormatan Utama Hormat Diraja sekitar jam 9 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan Negeri Pahang, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin berkata, sambutan merdeka norma baharu menggariskan beberapa panduan yang perlu dipatuhi termasuk mengehadkan jumlah tetamu, penjarakkan fizikal dan pemeriksaan suhu badan serta kesihatan.
"Acara juga diadakan seminimum mungkin bagi memastikan kemeriahan bulan kemerdekaan dapat dihayati bersama-sama. Program hari ini turut dipancarkan terus menerusi Unit Komunikasi Media Negeri Pahang dan Facebook Kerajaan Negeri," katanya ketika ditemui.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin' Sri Burhah Mohamad dan barisan Exco Kerajaan Pahang serta Kerabat Bergelar.
Turut diadakan ialah acara menaikkan bendera diiringi nyanyian lagu Negaraku dan lagu Allah Selamatkan Sultan Kami.
Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Pahang memeriahkan acara dengan persembahan koir, bacaan Ikrar dan laungan Merdeka, deklamasi sajak dan seni pasir.
Selain itu diadakan juga persembahan drumline pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pantomim Pertempuran Sungai Chalit Raub dan persembahan tempur tanpa senjata oleh pasukan keselamatan negara.
Persembahan puisi Selamat Hari Pahlawan Buat Abah dan persembahan artis jemputan Roslan Madun, Ernie Zakri dan Apak Khalifah turut mencuri tumpuan umum.