TANJUNG MALIM - Barisan Nasional (BN) yakin mampu meraih lebih 14,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.
Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keyakinan
itu berdasarkan undi yang dijangka diperolehi menerusi keputusan pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu membabitkan sokongan penyokong Pas dan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, dengan tema kekal muafakat pada PRK DUN Slim
itu, BN sudah pun menggerakkan jentera bersama-sama Pas, Bersatu dan
rakan-rakan parti lain di kawasan Parlimen Tanjung Malim.
"Jika digabungkan undi yang diperoleh BN dan Pas pada
PRU14 lalu, kita boleh dapat lebih 12,000 undi. Namun saya yakin dengan bantuan
rakan-rakan daripada Bersatu, MIC, MCA dan 'Friends of BN', kita boleh dapat
lagi 2,000 undi daripada keseluruhan.
"Untuk dapatkan undi-undi ini, kita perlu bekerja kuat
dan turun bersama-sama ke rumah-rumah untuk merayu undi," katanya ketika
menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera dan Penyerahan Bahagian
Angkat PRK DUN Slim di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi;
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M
Saravanan dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Saarani berkata, kemenangan pada PRK DUN Slim penting untuk
dijadikan kayu pengukur menjelang PRU15 yang akan berlangsung pada bila-bila
masa.
Menurutnya, model kerjasama pada PRK DUN Slim pasti akan
digunakan dalam kempen PRU15 nanti.
Pada PRU14, BN yang diwakili Allahyarham Datuk Mohd Khusairi
Abdul Talib meraih 8,327 undi menewaskan calon Pas, Zulfadli Zainal yang
memperolehi 4,103 undi, manakala calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
yang menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Amran Ibrahim
mendapat 6,144 undi.
SUMBER : SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment