Pages

Sunday, August 9, 2020

SASARAN KEMENANGAN 14 RIBU UNDI DI PRK SLIM

                                                

 

TANJUNG MALIM - Barisan Nasional (BN) yakin mampu meraih lebih 14,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.


Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan undi yang dijangka diperolehi menerusi keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu membabitkan sokongan penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Beliau berkata, dengan tema kekal muafakat pada PRK DUN Slim itu, BN sudah pun menggerakkan jentera bersama-sama Pas, Bersatu dan rakan-rakan parti lain di kawasan Parlimen Tanjung Malim.


"Jika digabungkan undi yang diperoleh BN dan Pas pada PRU14 lalu, kita boleh dapat lebih 12,000 undi. Namun saya yakin dengan bantuan rakan-rakan daripada Bersatu, MIC, MCA dan 'Friends of BN', kita boleh dapat lagi 2,000 undi daripada keseluruhan.


"Untuk dapatkan undi-undi ini, kita perlu bekerja kuat dan turun bersama-sama ke rumah-rumah untuk merayu undi," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera dan Penyerahan Bahagian Angkat PRK DUN Slim di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.


Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.


Saarani berkata, kemenangan pada PRK DUN Slim penting untuk dijadikan kayu pengukur menjelang PRU15 yang akan berlangsung pada bila-bila masa.


Menurutnya, model kerjasama pada PRK DUN Slim pasti akan digunakan dalam kempen PRU15 nanti.


Pada PRU14, BN yang diwakili Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meraih 8,327 undi menewaskan calon Pas, Zulfadli Zainal yang memperolehi 4,103 undi, manakala calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Amran Ibrahim mendapat 6,144 undi.


SUMBER : SINAR HARIAN

 


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor