KUANTAN : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan
Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri telah mengutip RM464.44 juta daripada
jangkaan kutipan hasil bagi tahun ini.
Jumlah itu adalah kira-kira 63 peratus daripada jangkaan
keseluruhan kutipan hasil negeri setakat 31 Julai lepas
“Pada tahun ini, kita jangka dapat mengutip RM744.02 juta
tetapi setakat 31 Julai lepas, sebanyak RM464.44 juta telah berjaya dikutip.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan
pembukaan Pasar Raya Star Grocer di Jalan Air Putih di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan
Perumahan Negeri Pahang, YB. Abd. Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah,
YB. Andansura Rabu; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku
Lah.
Mengulas mengenai jenis hasil yang menyumbang kepada hasil
kutipan negeri ini, beliau berkata ia merangkumi semua hasil milik Kerajaan
Negeri.
“Antara hasil yang kita kutip bagi tahun ini adalah daripada
penerokaan haram ke atas tanah milik Kerajaan Negeri.
“Sebagai contoh, di Tioman, kita memberi keluasan tanah dua
ekar untuk membuat resort, tetapi mereka telah membangunkan kawasan itu
sehingga 15 ekar. Jadi kita telah minta syarikat berkenaan supaya membayar
cukai bagi baki 13 ekar tersebut.
“Dan hasil-hasil lain, sebagai contoh, dulu mereka bayar
hasil pertanian tapi sekarang mereka bayar komersial sebab daripada tanam sayur
sekarang dah ada stor bangunan jadi kita naikkan. Begitu juga bagi kos balak
pun banyak beri sumbangan kenaikan kutipan ini sebab banyak tahun tidak
dinaikkan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan negeri mengambil serius mengenai
penerokaan tanah haram kerana Kerajaan Negeri kehilangan hasil sebanyak RM30
juta setahun akibat hal tersebut.
“Dari segi perlombongan haram, kita telah menguatkuasakan
dan banyak juga yang kita dapat hasil daripada kompaun yang dikenakan kepada pelombong
haram ini.
“Namun bagi pembinaan di Tioman, kita tidak mengenakan tindakan penguatkuasaan kerana ia merugikan pelabur dan Kerajaan Negeri, sedangkan bangunan tersebut telah dibina.
“Selain kita dapati tanah tersebut tidak ada rancangan
pembangunan seperti untuk dibina sekolah, klinik dan sebagainya. Jadi kita
legalised kan,” katanya.
Beliau berkata pembukaan pasar raya Star Grocer yang pertama
di Pantai Timur dan ketujuh selepas enam cawangan di Lembah Klang ini
menunjukkan kedudukan ekonomi setempat dan negeri ini dilihat semakin pulih.
“Majlis ini secara tidak langsung menunjukkan isyarat
positif tentang kedudukan ekonomi semasa disebalik penularan wabak COVID-19 ini
apabila pihak syarikat ini memilih untuk membuka perniagaan mereka di negeri
ini,” katanya.
SUMBER – HARIAN METRO / PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment