KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri
Ahmad Maslan berharap agar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Slim sekali lagi akan menjadi medan untuk membukti dan merealisasikan
kesepakatan Muafakat Nasional (MN) adalah yang terbaik.
Jelas beliau, ini bertepatan dengan ‘tagline’ yang digunakan
iaitu ‘Kekal Muafakat’ kerana muafakat itu membawa berkat dan membawa
kemenangan lebih besar.
“MN di Tanjung Malim ini amat bermanfaat dan saya berharap
agar undi yang kita dapat sebelum ini boleh bertambah dan mencapai hasrat 12
ribu undi. Ini yang kita inginkan iaitu MN direalisasikan di PRK SLIM.
“Namun kita jangan ambil mudah walaupun MN semakin kukuh
kerana jika kita ambil mudah, satu-satunya kerusi yang kita ada di Parlimen ini
akan terlepas. Kita bukan hanya nak capai hasrat Presiden untuk dapat 12 ribu
tapi kita nak capai 14 ribu majoriti.
“Jadi, bersama-samalah kita berusaha dengan
bersungguh-sungguh agar kita dapat tawan Slim,” ujar beliau.
Ahmad Maslan turut menegaskan kepada jentera agar mengambil
iktibar apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) yang lalu.
“Disebabkan kita berpecah maka kita cuma dapat satu kerusi
di sini. Sepatutnya kita boleh menang di Tanjung Malim dan Behrang tapi sebab
kita berpecah maka kita rugi… sebab itu pentingnya kerjasama dengan PAS.
“Jadi, kita mesti menang di kerusi ini, tidak ada sebab
untuk kita kalah,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Untuk rekod, ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59,
disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di
Hospital Bentong pada 15 Julai lalu.
Mohd Khusairi, menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut
sejak 2004. Beliau memenangi kerusi DUN Slim pada PRU-14 lalu dengan majoriti
2,183 undi selepas menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS,
Zulfadli Zainal.
SUMBER – UMNO ONLINE
0 comments:
Post a Comment