PEKAN, 27 OGOS 2020: Kerja-kerja perlombongan pasir di
sepanjang Sungai Pahang terutamanya berhampiran beberapa kampung di sini membantu penduduk tempatan dan tidak mengganggu aktiviti seharian penduduk.
Penduduk Tanjung Agas, Mohd Amir Abd Manan, 36, berkata,
kerja yang dilakukan dapat mendalamkan dasar sungai di Tanjung Agas yang kian
cetek.
“Malah usaha saya dulu terjejas teruk akibat air cetek di
mana sangkar ikan timbul akibat pasir yang menimbun (dibawa air dari hulu ke
hilir),” katanya.
Katanya lagi, sepatutnya nelayan di sini gembira jika ada
kerja-kerja mengorek pasir dan mendalamkan sungai khususnya di kawasan muka
kuala ini.
“Ia (kerja korek pasir) di sini adalah sejenis bentuk
bantuan bukan perkara yang menyusahkan. Saya sendiri pelik dengan dakwaan yang
dilemparkan oleh beberapa nelayan seperti yang disiarkan di sebuah akhbar,
semalam.
Nelayan setempat, Roslan Seman menunjukkan sekitar jeti yang
kian cetek akibat pertambahan pasir dalam sungai.
“Seperkara lagi, tempat hakisan yang dikatakan itu bukanlah
akibat daripada kerja-kerja mengorek pasir tetapi perubahan semulajadi muka
kuala akibat pembinaan tembok pemecah ombak di persisir Kuala Pahang,” katanya.
Menurutnya, tembok sepanjang dua kilometer itu dibina bagi
membantu mengatasi masalah banjir setiap kali impahan air sungai yang terjadi
akibat hujan lebat di bahagian hulu dan pertembungan air laut pasang besar.
MUARA CETEK DATANGKAN MASALAH KEPADA NELAYAN
Nelayan setempat, Roslan Seman, 58, turut memaklumkan
keadaan muara yang cetek telah mendatangkan pelbagai masalah kepada nelayan di
sini.
“Sudah berpeluh tahun saya menjadi nelayan di sini dan rasanya air di sini benar-benar dalam lebih sepuluh tahun lalu sebelum kian cetek akibat perubahan alam semula jadi.
“Bayangkan, nelayan perlu kejar masa keluar dalam keadaan
awal pagi yang gelap bagi memastikan dapat keluar daripada muka kuala sebelum
air surut,” katanya.
Perkara sama disuarakan nelayan, Abd Manan Bidol, 65, yang
mengakui bahawa mereka tidak dapat mengatur masa sendiri untuk turun atau
pulang ke laut.
“Bayangkan waktu pulang dari laut, kami perlu sampai awal
kira-kira sebelum pukul 4 petang kerana air akan kembali cetek pada waktu
tersebut.
“Saya nelayan tua, mana larat nak tolak bot atas pasir dah.. Lainlah nelayan-nelayan yang masih muda. Itu pun ramai yang tambat bot masing-masing di muka kuala dan perlu berjalan kaki kira-kira 500 meter membawa hasil laut masing-masing. Tak dapat letak di jeti kerana masalah air cetek,” katanya.
SOKONG USAHA KOREK PASIR
Bagi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung
(JKKK) Tanjung Agas, Mohd Majminuddin Abd Majid, 47, beliau menyokong usaha
mengorek pasir yang dilakukan.
“Kerja-kerja mengorek pasir kini berlangsung di kawasan
sekitar dan kalau boleh utamakan kawasan di sini sebab ada penggunanya seperti
nelayan, orang memukat dan memancing.
“Sepatutnya tiada masalah timbul kerana kerja-kerja
tersebut, malah ramai anak kampung ini yang mendapat kerja dengan syarikat
pasir yang sedang beroperasi kini.
“Ada yang jadi kerani, ada yang jaga mesin… Boleh dikatakan
70 peratus pekerja pam pasir adalah anak muda kampung ini,” katanya.
Katanya lagi, tiada isu jika syarikat terlibat beroperasi
mengikut syarat pengendalian yang betul serta pampasan yang diberikan adalah
selaras dan kepada mereka yang benar-benar terjejas.
TIADA ADUAN DARIPADA PENDUDUK
Sementara itu, jurutera daripada Syarikat Mega Wangsa Sdn
Bhd yang terlibat di salah sebuah lot perlombongan pasir berkata pihaknya tidak
menerima sebarang aduan daripada penduduk setempat.
Norazmin Mohd Rasid berkata, ada beberapa syarikat kini
sedang melakukan kerja perlombongan pasir di sekitar Sungai Pahang.
“Syarikat kami menguruskan lot seluas 8.09 hektar
berhampiran Kampung Tanjung Agas dan Mengambil maklum mengenai persekitaran dan
masyarakat setempat.
“Sejak beroperasi kira-kira empat bulan lalu tiada aduan
yang diterima daripada nelayan dan kerja-kerja yang dilakukan tidak mengganggu
laluan nelayan.
Katanya, syarikat sentiasa memberi tumpuan mengenai
kedudukan laluan pasir (pipe line) bagi mengelak laluan keluar masuk nelayan
terhalang serta mendahulukan kepentingan penduduk di sini.
SUMBER – PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment