Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 27, 2020

PEMUTIHAN TANAH HARAM SELURUH PAHANG: SHARKAR PERCAYA DAP AKAN JADI API DALAM SEKAM


KUANTAN, 26 Ogos – Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yakin dan percaya, Dap pastinya akan menjadi api dalam sekam membabitkan isu pemutihan tanah haram seluruh negeri Pahang.

 

Tegasnya, mereka pasti akan menjadi pejuang kononnya membela nasib rakyat, sebagaimana dilihat dalam isu membabitkan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng sebelum ini, Dap menjadi pejuang dalam isu itu namun selepas berkuasa senyap.

 

“Kini, Dap mahu menjadi juara dalam isu penerokaan tanah haram membabitkan pekebun durian di Raub pula. Dap ini hanya hidup bila ada isu sahaja.

 

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pahang ini adalah rutin dalam pentadbiran, itu hak kerajaan negeri yang bukan dirampas atau diambil balik tetapi dilakukan penyelesaian yang memberikan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

 

“Salahkah kerajaan Pahang berbuat demikian? Banyak lagi rakyat Pahang tidak mempunyai tanah,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Sharkar berkata isu penerokaan tanah secara haram di negeri Pahaang bukan perkara baharu tetapi telah sekian lama berlaku sekali gus mengalirkan banyak wang keluar yang sepatutnya menjadi hasil kerajaan negeri.

 

“Enggan melakukan kesilapan lagi, kerajaan negeri Pahang yang kini dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencari penyelesaian terbaik bagi ‘menghalalkan’ tanah-tanah haram yang diteroka di seluruh negeri ini.

 

“Tanah haram itu bukan sahaja yang membabitkan pertanian, malah perindustrian, perladangan, perumahan termasuk gerai-gerai haram.

 

“Dalam istilah lain, kerajaan Pahang akan melakukan pemutihan tanah-tanah haram di seluruh negeri ini demi memacu kegemilangan negeri ini khususnya dari sudut pembangunan ekonomi,” ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu lagi.

 

Jelas Sharkar lagi, langkah tersebut perlu demi memastikan situasi menang-menang dapat diperolehi bukan sahaja dalam kalangan peneroka tanah malah apa yang penting hasil kepada kerajaan negeri.

 

“Saya berikan contoh, sebelum ini 30 tahun tanah kerajaan negeri diteroka secara haram untuk penanaman kelapa sawit, dalam tempoh berkenaan, satu sen pun tidak bayar kepada kerajaan negeri.

 

“Itu merupakan satu ketidakadilan dan atas faktor itulah kerajaan negeri mencari penyelesaian untuk ‘menghalalkan’ atau ‘memutihkan’ tanah-tanah yang diteroka secara haram di seluruh negeri ini.

 

“Kerajaan negeri tidak merampas atau mengambil alih tanah itu, ia masih diusahakan oleh pihak yang menerokanya, ini perlu difahami dengan jelas kerana pasti ada pihak akan mempolitikkannya,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi.

 

Katanya lagi, apa kerajaan negeri akan lakukan seperti meletakkan beberapa syarat seperti pihak terlibat (pencerobohan) perlu membayar denda, kemudian meminta mereka menjelaskan premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah, membayar cukai dan mengutip hasil tahunan. 


SUMBER – UMNO ONLINE

0 comments:

share2