KUANTAN : Kerajaan memfokuskan kecukupan bekalan makanan
negara oleh sektor pertanian dalam merangka belanjawan 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi
Pantai Timur (ECERDC), Encik Baidzawi Che Mat berkata sesi dialog pada hari ini
bersama penggiat industri pertanian bertujuan bertukar idea diantara pihak
kerajaan dan pihak terlibat.
“Sesi Focus Group bersama industri diadakan untuk
membolehkan penggiat industri berkongsi idea bagi menyumbang ke arah kecukupan
bekalan makanan (food sufficiency) negara menerusi pertanian berskala besar dan
komersial yang akan mewujudkan peluang ekonomi dan pelaburan baharu di negeri
Pahang.
“Perkongsian bersama
penggiat industri ini sangat penting dalam penyediaan Belanjawan 2021 yang akan
dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan
media.
Sesi Focus Group Bersama Industri Pertanian ini
dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul
Aziz dianjurkan secara bersama antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri
Pahang dan ECERDC.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr.
Sallehuddin Ishak; dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan
Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak.
Beliau berkata antara strategi utama dalam Pelan Induk ECER
2.0 (EMP 2.0) adalah dengan memperkenalkan penggunaan Model Syarikat Induk bagi
perusahaan perniagaan tani komersial berskala besar.
“Pelaksanaan Model Syarikat Induk adalah game-changer untuk
sektor pertanian di ECER. Melalui model ini, Kerajaan menerusi ECERDC melabur
dalam infrastruktur yang diperlukan.
Melalui dialog hari ini serta sokongan daripada pihak
Kerajaan, kita mampu meningkatkan potensi ekonomi dan membantu menarik lebih
banyak pelaburan dan aktiviti perdagangan untuk sektor-sektor ini di negeri
Pahang,” katanya.
Menurut beliau lagi, syarikat dan pakar yang berkelayakan
daripada sektor swasta juga akan dilantik untuk menguruskan projek perniagaan
tani dan melabur dalam teknologi yang diperlukan.
“Model Perniagaan Syarikat Induk yang menjadi asas kepada
kluster perniagaan tani ECERDC telah membuktikan kejayaan kerjasama awam
swasta, mentransformasi industri pertanian, mewujudkan peluang pekerjaan dan
meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Pendekatan ini akan melonjakkan ekonomi di Pahang dengan
menarik pelaburan swasta, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang untuk
menjana pendapatan kepada masyarakat setempat di samping meningkatkan jaminan
keselamatan makanan negara,” katanya.
Tambah beliau lagi kepentingan industri pertanian dalam
menjamin keselamatan makanan negara berada pada tahap mencukupi lebih menyerlah
setelah pandemik COVID-19 berlaku.
“Dialog bersama penggiat industri pertanian ini adalah amat
perlu bagi mengenalpasti strategi-strategi dan langkah seterusnya dalam
memastikan penggunaan tanah yang efisien dan kemampanan jangka masa panjang
sektor ini di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Sesi yang diadakan hari ini adalah amat bermanfaat dan kami
yakin bahawa maklum balas yang dikemukakan akan dipertimbangkan dalam merangka
Belanjawan 2021.
“Kami juga akan terus bekerjasama secara dekat dengan
penggiat industri dan Kerajaan Negeri untuk memastikan strategi-strategi kami
dalam memacu pelaburan dan pertumbuhan sosioekonomi di Wilayah ini adalah
selari,” katanya.
Sesi dialog ini telah dihadiri oleh 18 penggiat industri, di
mana empat daripadanya adalah syarikat induk ECERDC, iaitu The Holstein Milk
Company Sdn Bhd, Rompin Integrated Plantation Industries Sdn Bhd, MHC Cold
Storage Sdn Bhd dan CSC Integrated Herbal Farm Sdn Bhd.
SUMBER – PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment