Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 9, 2020

KERAJAAN NEGERI KUTIP 63 PERATUS KUTIPAN HASIL NEGERI SETAKAT 31 JULAI

  


KUANTAN : Kerajaan Negeri telah mengutip kira-kira 63 peratus daripada jangkaan keseluruhan kutipan hasil negeri setakat 31 Julai lepas.


 YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri telah mengutip RM464.44 juta daripada jangkaan kutipan hasil bagi tahun ini.

 

“Pada tahun ini, kita jangka dapat mengutip RM744.02 juta tetapi setakat 31 Julai lepas, sebanyak RM464.44 juta telah berjaya dikutip.

 

“Hasi kutipan ini dilihat memberangsangkan di sebalik berlakunya ancaman wabak COVID-19 di negeri ini di mana kita menjangkakan jumlah kutipan hasil akan turut terjejas setelah berlakunya wabak ini,” katanya.

 

 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Pasar Raya Star Grocer di Jalan Air Putih di sini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abd. Rahim Muda; Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Andansura Rabu; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

 

Mengulas mengenai jenis hasil yang menyumbang kepada hasil kutipan negeri ini, beliau berkata ia merangkumi semua hasil milik Kerajaan Negeri.

 

“Antara hasil yang kita kutip bagi tahun ini adalah daripada penerokaan haram ke atas tanah milik Kerajaan Negeri.

 

“Sebagai contoh, di Tioman, kita memberi keluasan tanah dua ekar untuk membuat resort, tetapi mereka telah membangunkan kawasan itu sehingga 15 ekar. Jadi kita telah minta syarikat berkenaan supaya membayar cukai bagi baki 13 ekar tersebut.

 

“Dan hasil-hasil lain, sebagai contoh, dulu mereka bayar hasil pertanian tapi sekarang mereka bayar komersial sebab daripada tanam sayur sekarang dah ada stor bangunan jadi kita naikkan. Begitu juga bagi kos balak pun banyak beri sumbangan kenaikan kutipan ini sebab banyak tahun tidak dinaikkan,” katanya.

 

Beliau berkata Kerajaan negeri mengambil serius mengenai penerokaan tanah haram kerana Kerajaan Negeri kehilangan hasil sebanyak RM30 juta setahun akibat hal tersebut.

 

“Dari segi perlombongan haram, kita telah menguatkuasakan dan banyak juga yang kita dapat hasil daripada kompaun yang dikenakan kepada pelombong haram ini.

 

“Namun bagi pembinaan di Tioman, kita tidak mengenakan tindakan penguatkuasaan kerana ia merugikan pelabur dan Kerajaan Negeri, sedangkan bangunan tersebut telah dibina.

 

“Selain kita dapati tanah tersebut tidak ada rancangan pembangunan seperti untuk dibina sekolah, klinik dan sebagainya. Jadi kita legalised kan,” katanya.

 

Beliau berkata pembukaan pasar raya Star Grocer yang pertama di Pantai Timur dan ketujuh selepas enam cawangan di Lembah Klang ini menunjukkan kedudukan ekonomi setempat dan negeri ini dilihat semakin pulih.

 

“Majlis ini secara tidak langsung menunjukkan isyarat positif tentang kedudukan ekonomi semasa disebalik penularan wabak COVID-19 ini apabila pihak syarikat ini memilih untuk membuka perniagaan mereka di negeri ini,” katanya.


SUMBER  – PAHANGMEDIA

0 comments:

share2