Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 7, 2020

90 PERATUS PREMIS DI PAHANG AKUR ARAHAN GUNA TULISAN JAWI

                                                   

KUANTAN: Kira-kira 90% premis perniagaan di Pahang mematuhi arahan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda premis masing-masing sejak dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas.

 

Ketika mendedahkan perkara itu hari ini, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda berkata, berdasarkan pemerhatian pihak berkuasa tempatan, kebanyakan premis mengambil inisiatif menukar papan tanda baru atau menampal pelekat bertulisan Jawi di atas papan tanda sedia ada.

 

“Namun begitu, masih ada premis perniagaan yang tulisan Jawi di papan tanda mereka bersaiz lebih kecil daripada tulisan Rumi iaitu tidak mematuhi syarat ditetapkan.

 

“Mereka ini diberikan masa untuk membetulkan perkara itu,” katanya di sini.

 

Abd Rahim berkata, premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda antara RM250 dan RM500, selain boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan.

 

Mengenai tindakan Adun Tras Chow Yu Hui memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini bagi mencabar arahan kerajaan negeri itu, Abd Rahim berkata, perkara tersebut mungkin berlaku kerana ada pihak menganggap peraturan berkenaan berkaitan kaum dan proses Islamisasi terhadap kaum lain.

 

“Sebenarnya, ia (arahan) bukan begitu. Jika dirujuk Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, ada dinyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan tulisannnya ialah tulisan Rumi dan Jawi. Jadi arahan ini sepatutnya tiada masalah untuk dipatuhi,” katanya.

 

Kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi selari dengan titah Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada November 2018 supaya tulisan tersebut diperkasakan dan dibudayakan di negeri itu.

 

SUMBER : BERNAMA

 


0 comments:

share2