LIPIS: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang komited mahu
memastikan pembinaan Laluan Central Spine Road (CSR) dapat disiapkan sepenuhnya
pada 2023.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail berkata, laluan tersebut melibatkan enam pakej serta 30 subpakej
sepanjang 346.6 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai,
Bentong bernilai RM8.7 bilion.
Beliau berkata, apabila laluan itu siap sepenuhnya ia akan
memberikan kesan positif iaitu meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk
setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan luar bandar.
“Selain itu ia dapat meningkatkan keboleh-sampaian dan
pergerakan laluan ke pantai timur, mengurangkan risiko kemalangan yang menurut
rekod tahun 2010 hingga 2014 berlaku lebih 400 kemalangan antara laluan lama
dari Mentara ke Kuala Lipis, mengurangkan kesesakan lalulintas atas Jalan
Persekutuan 08 sedia ada terutamanya pada musim perayaan dan cuti persekolahan.
“Mengekalkan ekosistem hidupan liar setempat, dengan
pembinaan ‘eco-viaduct’ dekat kawasan Sungai Yu serta menjimatkan masa dari
Kota Bharu ke Kuala Krai, seterusnya memasuki laluan CSR daripada kira-kira
tujuh jam kepada kira-kira 4 setengah jam, dan jarak perjalanan daripada
kira-kira 452 kilometer kepada 418 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan
Laluan Projek Central Spine Road Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung
Relong, Lipis Seksyen 3E1 dari Mentara Ke Merapoh, di sini hari ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail bersama Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof melepaskan
kenderaan yang melalui laluan Mentara ke Merapoh pada Majlis Pembukaan Laluan
Projek Central Spine Road Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong,
Lipis Seksyen 3E1 dari Mentara Ke Merapoh, Lipis.
Hadir sama, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah
Yusof; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB Dato’ Sri Abdul Rahman
Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi
Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak dan Ahli Dewan
Negeri Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Long.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, pembukaan laluan
dari Mentara ke Merapoh sepanjang 5.8 kilometer telah pun siap pembinaan pada
16 Februari 2020.
Menurutnya, secara keseluruhannya pencapaian jajaran laluan
itu sudah 19 peratus atau 66.93 kilometer siap setakat ini manakala laluan
melibatkan pakej lain sedang dalam proses pembinaan.
“Adalah diharapkan dengan pembukaan laluan ini, pengguna
dapat memanfaatkan sepenuhnya.
“Kepada pihak kontraktor pula diharap, dapat segera membaiki
apa-apa juga kelemahan atau kerosakan yang berlaku agar ia tidak mendatangkan
kemudaratan kepada pengguna sekalian,” katanya.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail bersama Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof
memperkatakan sesuatu pada Majlis Pembukaan Laluan Projek Central Spine Road
Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Lipis Seksyen 3E1 dari
Mentara Ke Merapoh, Lipis, hari ini.
Sementara itu YB Dato’ Sri Fadillah Yusof pula berkata,
selaras dengan keperluan aspek keselamatan dan kesesakan lalu lintas semasa,
pelaksanaan projek itu telah dilaksanakan secara berperingkat bermula Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK9) dengan keutamaan pelaksanaan bagi Pakej 3 dari Gua
Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang disebabkan isu keselamatan.
Belia berkata, Pakej 3 projek ini dibahagikan kepada 10
seksyen pembinaan. Tiga seksyen iaitu jajaran dari KM180.5 ke Mentara dan
jajaran dari Kampung Seberang Jelah ke Kampung Relong adalah di peringkat
pembinaan, manakala enam seksyen iaitu dari Mentara Ke Kampung Seberang Jelah,
Pahang sepanjang 61 kilometer telah pun siap dibina.
“Sehubungan dengan itu, Projek Central Spine Road merupakan
laluan alternatif yang selesa dan selamat bagi pengguna yang ingin menuju ke
Pahang dan Kelantan menerusi Gua Musang apabila siap sepenuhnya.
“Projek merimpak tinggi ini juga sudah tentu akan
melengkapkan lagi peta pembangunan infrastruktur di Pahang serta menjadi
pemangkin pembangunan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai
Timur,” katanya.
Projek Central Spine Road meliputi Pakej 1 dari Kuala Krai
ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan sepanjang 47km dengan kos RM1.1 billion;
Pakej 2 dari Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan sepanjang 59.6km
dengan kos RM1.4 billion; Pakej 3 dari Gua Musang ke Kampung Relong, Lipis
sepanjang 93.8km dengan kos RM2.1 billion; Pakej 4 dari Kampung Relong ke Raub
sepanjang 44.6km dengan kos RM 1.3 billion; Pakej 5 dari Raub ke Bentong
sepanjang 54.1km dengan kos RM1.2 billion manakala Pakej 6 dari Bentong ke
Simpang Pelangai sepanjang 47.5km dengan kos RM 1.6 billion
SUMBER .-PAHANGMEDIA
0 comments:
Post a Comment