Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 31, 2020

BANTAH TULISAN JAWI : PEMUDA UMNO PAHANG SIFATKAN DAP BIADAP, KETERLALUAN




RAUB, 31 Julai – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal membidas dan kesal dengan tindakan biadab ADUN Tras dari Dap, Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang bagi mewajibkan penggunaan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di Pahang.

Tambah keterlaluan tegasnya apabila Chow Yu Hui menuduh Kerajaan Negeri Pahang memaksa pemilik perniagaan, NGO atau mana-mana pihak untuk melaksanakan dasar tersebut.

“Malah, beliau (Yu Hui) secara lantang menyatakan pelaksanaan tulisan jawi harus dilakukan menerusi galakan dan secara sukarela, bukannya secara paksaan.

“Tindakan Chow Yu Hui ini jelas mencabar titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah agar penggunaan tulisan jawi diperluaskan di papan tanda jalan, premis perniagaan dan perumahan di seluruh Pahang, demi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tindakan Chow Yu Hui ini juga tambah Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub menunjukkan betapa Dap sudah ketandusan isu untuk diketengahkan.

“Ini kerana, majoriti pemilik premis perniagaan di seluruh Pahang termasuk bukan Melayu sudahpun melaksanakan dasar ini dan mempamerkan tulisan jawi di papan tanda premis mereka sejak awal Januari lalu.

“Saya cabar Ahli Parlimen Dap Raub, YB Tengku Zulpuri dan ADUN Dap Ketari, YB Young Syefura Othman menyatakan pendirian berhubung isu ini. Adakah mereka setuju dengan tindakan Chow Yu Hui? “, soalnya.

Hakikatnya jelas beliau lagi Dap semakin dilupakan di Pahang. Wakil rakyat mereka sudah sekian lama hilang dari radar terutama sejak tumbangnya Kerajaan PH pada Februari lalu.

“Kini Dap mahu kembali dilihat relevan, di saat ramai menjangkakan PRU-15 akan berlangsung pada bila-bila masa.

“Tetapi isu yang dibangkitkan membuktikan Dap benar-benar terdesak untuk meraih perhatian dan sokongan rakyat”, ujarnya.


SUMBER  –UMNO ONLINE

Read more »

[UCAPAN AIDIL ADHA MENTERI BESAR PAHANG



Read more »

[GRAFIK] UCAPAN AIDIL ADHA EXCO KOMUNIKASI PAHANG



Read more »

Thursday, July 30, 2020

PAHANG KAWAL COVIC-19 DENGAN BAIK : WAN ROSDY




KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan penghargaan di atas usaha dan komitmen Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dalam mengekang penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) sehingga dapat dikawal seperti hari ini.


Menurutnya, jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mampu menangani Covid-19 dengan baik meskipun Pahang terletak bersebelahan negeri-negeri berisiko seperti Selangor, Johor, Perak dan lain-lain yang mempunyai statistik kes tinggi.


Beliau berkata, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi berkaitan dalam mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri itu.


"Meskipun Pahang bersempadan dengan beberapa negeri dan ada antaranya mencatatkan jumlah kes yang tinggi namun ia berjaya dikawal dengan kecekapan pihak terlibat.


"Kita menduduki tempat keenam berbanding negeri lain. Pahang bersempadan dengan Selangor, Johor, Perak, kalau kita tidak kawal, tidak urus dengan baik saya percaya negeri ini akan berada di tempat ke dua atau ketiga teratas," katanya.


Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan tahniah khusus kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang secara proaktif membendung penularan wabak itu di negara ini.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur gemilang 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.


Segmen khas Wira Negara turut ditonjolkan dengan membariskan barisan hadapan negara seperti Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan tidak terkecuali kontraktor pembersihan Alam Flora dan Pos Malaysia.


SUMBER : SINAR HARIAN



Read more »

Wednesday, July 29, 2020

MENGHORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH: AHLI UMNO DAN PENYOKONG HARUS TENANG



Kenyataan
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail


1.  Hari ini keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International telah diputuskan, yang mana Datuk Seri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak telah didapati bersalah di atas 7 pertuduhan.


2.  Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar menghormati keputusan mahkamah dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.


3.  Walaubagaimanapun, perjuangan Datuk Seri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya masih lagi diteruskan.


4.  Masih terdapat lagi ruang untuk beliau membela diri di atas pertuduhan-pertuduhan yang telah dikemukakan oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia, di peringkat Mahkamah Rayuan & Mahkamah Persekutuan nanti.


5.  Sememangnya kita simpati dengan nasib beliau, yang merupakan seorang pemimpin prihatin dan peka terhadap kebajikan rakyat Malaysia, ini jelas ditunjukkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam.


6.  Janganlah kita memberikan komen-komen berbaur ancaman atau kecaman terhadap mana-mana institusi perundangan di negara ini. Sebagai rakyat, kita harus menjadi pemerhati yang sabar dan percaya akan sistem perundangan negara yang telus dan berintegriti.


7.   Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia untuk bertenang, sabar dan teruskan berdoa agar keadilan dapat ditegakkan, sekaligus kebenaran yang selama ini kita tunggu akan menjelma jua.


8.  Semoga Allah memelihara dan memberikan kemudahan kepada Datuk Seri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dan seluruh ahli keluarga beliau. InsyAllah.



Read more »

Monday, July 27, 2020

KERAJAAN KOMITED MAHU PASTIKAN PROJEK CSR DISIAPKAN SEPENUHNYA



LIPIS: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang komited mahu memastikan pembinaan Laluan Central Spine Road (CSR) dapat disiapkan sepenuhnya pada 2023.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laluan tersebut melibatkan enam pakej serta 30 subpakej sepanjang 346.6 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai, Bentong bernilai RM8.7 bilion.


Beliau berkata, apabila laluan itu siap sepenuhnya ia akan memberikan kesan positif iaitu meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan luar bandar.


“Selain itu ia dapat meningkatkan keboleh-sampaian dan pergerakan laluan ke pantai timur, mengurangkan risiko kemalangan yang menurut rekod tahun 2010 hingga 2014 berlaku lebih 400 kemalangan antara laluan lama dari Mentara ke Kuala Lipis, mengurangkan kesesakan lalulintas atas Jalan Persekutuan 08 sedia ada terutamanya pada musim perayaan dan cuti persekolahan.


“Mengekalkan ekosistem hidupan liar setempat, dengan pembinaan ‘eco-viaduct’ dekat kawasan Sungai Yu serta menjimatkan masa dari Kota Bharu ke Kuala Krai, seterusnya memasuki laluan CSR daripada kira-kira tujuh jam kepada kira-kira 4 setengah jam, dan jarak perjalanan daripada kira-kira 452 kilometer kepada 418 kilometer,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Laluan Projek Central Spine Road Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Lipis Seksyen 3E1 dari Mentara Ke Merapoh, di sini hari ini.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof melepaskan kenderaan yang melalui laluan Mentara ke Merapoh pada Majlis Pembukaan Laluan Projek Central Spine Road Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Lipis Seksyen 3E1 dari Mentara Ke Merapoh, Lipis.
Hadir sama, Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak dan Ahli Dewan Negeri Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Long.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, pembukaan laluan dari Mentara ke Merapoh sepanjang 5.8 kilometer telah pun siap pembinaan pada 16 Februari 2020.

Menurutnya, secara keseluruhannya pencapaian jajaran laluan itu sudah 19 peratus atau 66.93 kilometer siap setakat ini manakala laluan melibatkan pakej lain sedang dalam proses pembinaan.

“Adalah diharapkan dengan pembukaan laluan ini, pengguna dapat memanfaatkan sepenuhnya.

“Kepada pihak kontraktor pula diharap, dapat segera membaiki apa-apa juga kelemahan atau kerosakan yang berlaku agar ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna sekalian,” katanya.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof memperkatakan sesuatu pada Majlis Pembukaan Laluan Projek Central Spine Road Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Lipis Seksyen 3E1 dari Mentara Ke Merapoh, Lipis, hari ini.
Sementara itu YB Dato’ Sri Fadillah Yusof pula berkata, selaras dengan keperluan aspek keselamatan dan kesesakan lalu lintas semasa, pelaksanaan projek itu telah dilaksanakan secara berperingkat bermula Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dengan keutamaan pelaksanaan bagi Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang disebabkan isu keselamatan.

Belia berkata, Pakej 3 projek ini dibahagikan kepada 10 seksyen pembinaan. Tiga seksyen iaitu jajaran dari KM180.5 ke Mentara dan jajaran dari Kampung Seberang Jelah ke Kampung Relong adalah di peringkat pembinaan, manakala enam seksyen iaitu dari Mentara Ke Kampung Seberang Jelah, Pahang sepanjang 61 kilometer telah pun siap dibina.

“Sehubungan dengan itu, Projek Central Spine Road merupakan laluan alternatif yang selesa dan selamat bagi pengguna yang ingin menuju ke Pahang dan Kelantan menerusi Gua Musang apabila siap sepenuhnya.

“Projek merimpak tinggi ini juga sudah tentu akan melengkapkan lagi peta pembangunan infrastruktur di Pahang serta menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” katanya.

Projek Central Spine Road meliputi Pakej 1 dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan sepanjang 47km dengan kos RM1.1 billion; Pakej 2 dari Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan sepanjang 59.6km dengan kos RM1.4 billion; Pakej 3 dari Gua Musang ke Kampung Relong, Lipis sepanjang 93.8km dengan kos RM2.1 billion; Pakej 4 dari Kampung Relong ke Raub sepanjang 44.6km dengan kos RM 1.3 billion; Pakej 5 dari Raub ke Bentong sepanjang 54.1km dengan kos RM1.2 billion manakala Pakej 6 dari Bentong ke Simpang Pelangai sepanjang 47.5km dengan kos RM 1.6 billion


SUMBER .-PAHANGMEDIA

Read more »

PAHANG BINCANG LANGKAH PERANGI DENGGI OKTOBER DEPAN





KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengadakan persidangan bagi membincangkan langkah-langkah untuk memerangi denggi di negeri ini pada Oktober ini.


Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, persidangan itu akan melibatkan wakil-wakil jabatan dan kerajaan Pahang serta media.


Menurutnya, dalam persidangan itu semua pihak terlibat akan berbincang bagaimana kaedah yang terbaik bagi menangani isu denggi di negeri ini.


"Persidangan ini kemungkinan akan diadakan pada bulan Oktober depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.


Norol Azali berkata, sebanyak enam kematian dilaporkan akibat denggi di negeri ini dari 1 Januari hingga 18 Julai lalu berbanding empat kematian bagi tempoh sama tahun lalu.


Beliau berkata, kerajaan Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang memandang serius jumlah kes kematian terutama peningkatan kes yang direkodkan ketika ini.


"Setakat 18 Julai lalu, sebanyak 1,762 kes demam denggi dilaporkan iaitu peningkatan 735 kes atau 72 peratus berbanding 1,027 kes bagi tempoh sama tahun lalu.


"Semua daerah di negeri ini menunjukkan peningkatan kes kecuali di Temerloh dan Jerantut. Daerah Kuantan merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,241 kes atau 70.4 peratus di negeri ini," katanya.


Norol Azali berkata, di Pahang sebanyak 92 lokaliti bermasalah dengan peningkatan 58.6 peratus berbanding 58 lokaliti bagi tempoh sama tahun lalu.


"Oleh itu, semua rakyat di negeri ini diminta meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk membersihkan sekitar rumah mereka bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.


SUMBER : SINAR HARIAN


Read more »

Saturday, July 25, 2020

JAMBATAN KEDUA TANJUNG LUMPUR SIAP SEPTEMBER INI



KUANTAN - Projek pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Kuantan bagi menghubungkan bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini dijangka siap pada 25 September ini.


Projek melibatkan pembinaan laluan sepanjang 2.5 kilometer termasuk jambatan sepanjang 451 meter dengan harga kontrak semasa RM155.8 juta itu kini siap 93 peratus.


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek yang dilaksanakan secara reka dan bina itu melibatkan pembinaan jalan empat lorong dari Jalan Tanjung Lumpur ke persimpangan Jalan Tanah Putih dan Jalan Pintasan Bukit Setongkol merangkumi 1.5 kilometer laluan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 0.5 kilometer.


Menurutnya, projek itu akan menjadi laluan tambahan kepada jambatan sedia ada yang menghubungkan bandar Kuantan ke Tanjung Lumpur.


"Dengan adanya jambatan dan laluan baharu ini, ia akan mengurangkan kesesakan trafik di bandar Kuantan selain memendekkan jarak dan menjimatkan masa perjalanan kira-kira 15 hingga 30 minit dari arah Bandar Indera Mahkota, Gambang dan kawasan sekitarnya ke Tanjung Lumpur," katanya.


Fadillah meninjau jambatan baharu sepanjang 451 meter yang merentasi Sungai Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini.


Fadillah meninjau jambatan baharu sepanjang 451 meter yang merentasi Sungai Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir meninjau kemajuan dan kelancaran kerja projek tersebut di sini hari ini.


Fadillah berkata, melalui projek itu secara tidak langsung akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang besar khususnya kepada bandar Kuantan dan Pahang amnya.


Beliau berkata, projek yang dimulakan sejak 15 Ogos 2016 itu sepatutnya siap pada 14 Ogos tahun lalu namun ia dilanjutkan kepada 25 September ini atas beberapa faktor.


"Insya-ALLAH projek ini dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan jika tiada masalah lain yang timbul sebelum dibuka kepada umum," katanya.


Dalam pada itu katanya, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM47 juta bagi membina jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting merentasi Jalan Kuantan-Gambang ke laluan baharu Tanjung Lumpur.


"Skop projek pembinaan projek ini akan dilaksanakan kontraktor sama Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) melalui perjanjian tambahan dan arahan kerja sudah dikeluarkan 15 Jun lalu," katanya.



SUMBER : SINAR HARIAN

Read more »

Friday, July 24, 2020

PRK DUN SLIM : PENGUMUMAN HARI UNDI DAN PENAMAAN CALON




PUTRAJAYA  – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak diadakan pada 29 Ogos.


Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.


“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula daripada hari perisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam 28 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai urusan PRK itu, di sini hari ini.


Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.


Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.


PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14.


Sebelas PRK yang diadakan sebelum ini ialah di DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Sandakan, Parlimen Tanjung Piai, Parlimen Kimanis dan DUN Chini.


Azmi berkata Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2020 yang dikemas kini sehingga 16 Julai lepas akan digunakan bagi PRK DUN Slim dan akan mula dijual pada 5 Ogos.


Katanya daftar pemilih tersebut mengandungi 23,094 pengundi yang terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.


“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.


Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih mulai 5 Ogos untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my) atau menghubungi talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.


Azmi berkata bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan mula dibuka hari ini dan ditutup pada 13 Ogos.


Pegawai Daerah Muallim Shamsul Ridzuan Idris dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Slim dan beliau akan dibantu oleh empat orang penolong pegawai pengurus, katanya.


Azmi berkata SPR juga bersetuju menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang akan dianggotai oleh pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.


“SPR akan menggunakan Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi,” katanya.


Azmi berkata seramai 689 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Slim manakala sebanyak 13 pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.


“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM4.6 juta,” katanya.


Menurut Azmi, seramai 391 pengundi kurang upaya dikenal pasti bagi PRK itu yang akan mengundi di saluran satu dan 10 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai dalam satu saluran.


Azmi berkata satu garis panduan pencegahan COVID-19 yang ditambah baik selepas PRK DUN Chini akan dikuatkuasakan bagi memastikan setiap proses dalam urusan pilihan raya tersebut selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran pandemik COVID-19 sebagaimana yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan.


Beliau berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan atau individu berkelayakan berminat menjadi pemerhati dalam proses PRK dari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya.


Permohonan menjadi pemerhati boleh dikemukakan kepada SPR mulai hari ini hingga 29 Julai melalui emel pilihanrayakecil@spr.gov.my. , katanya



SUMBER – BERNAMA

Read more »

Thursday, July 23, 2020

LIMA KELUARGA BERSYUKUR HASRAT MILIKI RUMAH BAHARU TERCAPAI




ROMPIN: Seramai lima keluarga di Kampung Tekek, Pulau Tioman bersyukur kerana penantian untuk memiliki rumah baharu akhirnya tercapai.


Empat daripada mereka menerima surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR), manakala satu keluarga menerima kunci rumah PPR daripada Kerajaan Pahang hari ini.


Penerima kunci rumah, Encik Mohd Yunus Mustaffar, 60, berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantunya untuk memiliki rumah baharu.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan surat tawaran rumah PPR kepada Puan Jamaliah Othman (kiri) pada majlis ringkas penyerahan surat tawaran dan kunci rumah PPR di Pulau Tioman.


Menurutnya, perasaannya terharu kerana tidak pernah terfikir dapat rumah baharu berbanding rumahnya lamanya yang sudah rosak.


Katanya, dia yang bekerja sebagai nelayan kecil dapat membeli rumah itu hasil wang yang dikumpul selama lima tahun.


“Saya ni boleh dikatakan sudah lewat untuk terima kunci kerana saya penerima fasa pertama. Saya kumpul duit sedikit demi sedikit selama lima tahun dan selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya pun membuat pembayaran kepada Bahagian Perumahan.


“Alhamdulillah urusannya senang dan tak banyak masalah. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang, YAB Menteri Besar dan YB Jo (YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain),” katanya


Penyerahan surat tawaran dan kunci rumah itu dilaksanakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis ringkas sebelum mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan bermula.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Pahang dan Setiausaha Bahagian Perumahan Pejabat SUK, YH Dato’ Azlan Mohd Yaman.

Bagi penerima surat tawaran PPR, Puan Jamaliah Othman, 59, menyifatkan penantiannya selama setahun untuk memiliki rumah itu akhirnya berbaloi.

Menurutnya keadaan rumahnya yang terletak di laluan utama di Kampung Tekek tidak berapa sesuai untuk didiami.

“Alhamdulillah dapat juga saya rumah ini. Terima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana membantu saya,” katanya.


Pegawai Bahagian Perumahan Pejabat SUK Pahang (kanan) menerangkan sesuatu kepada penerima surat tawaran rumah PPR di Pulau Tioman, Rompin, hari ini.
Sementara itu, YH Dato’ Azlan ketika ditemui menjelaskan semua penerima rumah ini dipilih berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan selepas mereka menghantar permohonan.

Menurutnya, penerima pada ada hari ini adalah kumpulan terakhir daripada 116 penerima rumah PPR di seluruh Tioman.

“Untuk Kampung Tekek ini masih ada tiga lagi kekosongan dan kita akan tawarkan secepat mungkin,” katanya.

Pada majlis itu juga, Kerajaan Pahang turut menyerahkan sumbangan khas peralatan sukan angkat berat bernilai RM5,000 kepada Sekolah Menengah Tekek.


SUMBER -PAHANGMEDIA

Read more »

Wednesday, July 22, 2020

KERAJAAN NEGERI TERUSKAN PEMBANGUNAN DI PULAU TIOMAN




ROMPIN, 22 JULAI 2020: Kerajaan Negeri Pahang meneruskan pembangunan di Pulau Tioman dengan meluluskan dua projek pembangunan bagi memastikan infrastruktur di pulau itu dapat memberikan keselesaan kepada penduduknya.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beberapa masalah yang ada di pulau itu telah pun dibawa oleh ​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Tioman, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.


Beliau berkata, antara yang diluluskan adalah projek bekalan air luar bandar berjumlah RM34 juta dan naik taraf jeti Kampung Genting sebanyak RM4.5 juta.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bermesra dengan penduduk Pulau Tioman pada majlis ramah mesra bersama masyarakat pulau itu di Dataran Tiong, malam tadi.


“Selain itu terdapat juga projek-projek lain yang Kerajaan Negeri senaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 termasuk juga projek-projek melibatkan Pulau Tioman.


“Antaranya pembinaan masjid baharu Kampung Tekek sebanyak RM50 juta, bina baharu Masjid Kampung Salang sebanyak RM50 juta serta naik taraf jeti Kampung Juara sebanyak RM5 juta,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Pulau Tioman di Dataran Tiong, 


Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak barisan Exco Pahang serta pegawai kanan Kerajaan Pahang.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bermesra dengan penduduk Pulau Tioman pada majlis ramah mesra bersama masyarakat pulau itu di Dataran Tiong, malam tadi.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, bagi tujuan untuk memantapkan dan melicinkan pentadbiran di daerah Rompin khususnya di Pulau Tioman, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina kompleks pejabat kerajaan, menempatkan pejabat Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), pejabat tanah dan pejabat agama di pulau itu.


Beliau berkata, ia bagi memudahkan penduduk untuk berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.


Menyentuh mengenai lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan projek itu memandangkan ia sudah lama dirancangkan dan mendapat sokongan sebahagian besar penduduk di pulau itu.


Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Pulau Tioman di Dataran Tiong, malam tadi.
Beliau berkata, dengan adanya lapangan terbang itu nanti, ia memberi banyak manfaat kepada Negeri Pahang khususnya di Pulau Tioman terutamanya peningkatan kemasukan pelancong dan juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


“Peluang dah ada nak buat airport, pelancong dari luar datang, penerbangan tanpa henti enam jam tujuh jam. Pesawat Boeing 737 boleh mendarat di sini.



“Apa yang kita rancang ini bukannya untuk sesiapa tetapi untuk anak cucu kita,” katanya.


SUMBER -PAHANGMEDIA

Read more »

AIDIL ADHA DITETAPKAN 31 JULAI




 KUALA LUMPUR, 22 Julai – Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada Jumaat (31 Julai), demikian pengumuman Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman, malam tadi.


“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1441 Hijrah ialah pada 22 Julai 2020 Masihi.


“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 31 Julai 2020,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).



SUMBER  – BERNAMA

Read more »

Tuesday, July 21, 2020

EKONOMI PAHANG MANTAP DI SEBALIK KEMELUT COVIC-19




Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata dalam keadaan ekonomi tidak menentu akibat Covic-19, Pahang telah menerima pelaburan baru yang bernilai lebih RM91 juta dari Januari hingga Mac 2020 pada tahun 2020 ini, melibatkan beberapa pelabur tempatan dan asing.  

“Untuk makluman semua, sehingga akhir tahun 2019 berdasarkan kepada laporan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Pahang telah meraih pelaburan dalam dan luar negara sebanyak RM9 billion, melibatkan 244 projek pengilangan.”


 “ Daripada nilai keseluruhan ini, RM5 bilillion ialah pelaburan tempatan manakala RM4 billion ialah pelaburan asing.”


“Angka ini dijangka akan bertambah lagi hingga penghujung tahun 2020”.


Menteri Besar berkata demikian dalam perasian Program Mini Keterlibatan SIRIM –INDUSTRI 2020 peringkat Negeri Pahang di Kuantan.


Beliau berkata selain daripada sektor pertanian, kerajaan negeri juga menitikberatkan perkembangan sektor perindustrian di Pahang.


Ini kerana, sektor perindustrian ialah pemangkin kepada ekonomi negara sekali gus membantu peningkatan ekonomi di setiap negeri.


SIRIM Berhad diharap bersama-sama Kerajaan Negeri membangunkan industri yang lestari dan memastikan pelaburan yang masuk ke Negeri Pahang mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan bagi memastikan Kelestarian Pembangunan Industri adalah terjamin.


Selain itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata bantuan teknologi yang dibangunkan dan diusahakan oleh SIRIM  dapat meningkatkan berdaya saing syarikat untuk menembusi pasaran yang lebih luas lagi bukan sahaja pasaran tempatan malah dapat membantu menembusi pasaran ke peringkat antarabangsa.



 Ini terutamanya kepada Industri Kecil dan Sederhana (I.K.S) dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang lebih baik kepada penduduk setempat. 

Read more »

Monday, July 20, 2020

PRK DUN SLIM BAKAL DISERTAI RAMAI CALON BEBAS




PRK N58 DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59 (UMNO/BN) yang menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan selama empat penggal sejak tahun 2004.


Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, 25 UMNO/BN, 3 PAS, 4 Bersatu, manakala DAP memiliki 16 kerusi, Amanah 5, PKR 3, Bebas 2 dan Gerakan 1.


Demografi pengundi di Slim adalah Melayu 74.61%, India 13.19%, Cina 10.42%.
Dalam PRU14 lalu, UMNO (BN) mendapat 8,327 undi, PAS 4,103 dan PPBM (PH) mendapat 6,144 undi.


Dalam suasana perpaduan ummah dan Maufakat Nasional, jika undian lalu diambil kira maka sudah pasti calon Maufakat Nasional akan mendapat 12,430 undi.


Dalam suasana kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini, sudah pasti PPBM (Merah) tidak akan meletakkan calonnya di kerusi ini.


PKR awal-awal lagi sudah memberi isyarat kepada rakan dalam Pakatan Harapan bahawa mereka akan meletakkan calon dalam PRK N58 Slim nanti bagi menutup ruang parti komponen lain dari meletakkan calon mereka.


Jika pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan dalam PRU lalu diambil kira, pastinya PPBM (Hitam) lebih berhak meletakkan calonnya.


Namun keretakan dalam PH tidak memustahilkan bahawa DAP, Amanah akan turut meletakkan calon proksi mereka sebagai calon Bebas jika PKR tetap meletakkan calon tanpa merujuk kepada perbincangan dengan DAP terlebih dahulu sebagai kuasa terbesar dalam Pakatan.


Sepertimana di PRK Chini, DS Najib tidak akan bertanding namun zikir Najib Razak dan BossKu akan terus didendangkan kepada rakyat agar rakyat terus leka dan alpa kepada kecurian yang Madey dan LGE serta kroninya lakukan.


ZIKIR JIWA SAKIT..
najib itu najib ini
najib begitu najib begini
itu kerana najib ini kerana najib
semua kerana najib semua salah najib..

Image may contain: 1 person, eating, sitting and food

(Oleh Azam Abd Rahman)

Read more »

Sunday, July 19, 2020

PAHANG GESA ECRL DITERUSKAN IKUT CADANGAN ASAL





KUANTAN – Menurut perancangan awal yang telah dibuat oleh kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, jajaran asal awal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor.


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata terdapat beberapa faktor agar perancangan awal ini diteruskan, antaranya adalah untuk meningkatkan lagi penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan kerana di kawasan selatan sudah mempunyai pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.


“Kita juga ingin melihat ECRL yang jajarannya melalui Gombak akan dilaksanakan kerana ini akan menghasilkan integrasi dengan sistem aliran Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT.


“Terkini di Negeri Pahang Darul Makmur, projek ini telah mula dilaksanakan dan sudahpun berada pada tahap 13% atau 14%.


“Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa projek ini akan dikurangkan kos dengan perubahan-perubahan yang sedikit, ia adalah satu perkara yang amat merugikan kerana kita telahpun mengambil langkah untuk menyediakan tanah bagi melengkapkan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Jelas Wan Rosdy lagi, pada tahun 2019, sebanyak 1,394.4 hektar tanah yang merangkumi 232.5km jarak perjalanan yang merentasi Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan telahpun dalam proses untuk diambil-alih.


Tegasnya juga, dengan adanya ECRL mengikut pelan asal, ia akan membawa kembali peluang pekerjaan kepada anak-anak Negeri Pahang.


“Dan semestinya ledakan ekonomi akan berlaku sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini apabila siapnya infrasturktur ini.


“Saya telah menulis surat pada Mac 2020 yang lepas kepada YAB Perdana Menteri agar dapat mengkaji semula pelaksanaan asal ECRL yang benar-benar lebih menguntungkan untuk jangka masa yang lebih panjang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu lagi.


Justeru katanya, Pahang berharap agar satu keputusan dapat dicapai untuk mengembalikan semula pelan asal ECRL kepada perancangan awalnya.


SUMBER – UMNO ONLINE

Read more »

Saturday, July 18, 2020

OPERASI PERNIAGAAN DI PAHANG KEMBALI IKUT LESEN




KUANTAN  – Kerajaan negeri Pahang membenarkan premis perniagaan yang beroperasi pada masa ini kembali mengikuti waktu operasi berdasarkan kelulusan lesen sedia ada, berkuat kuasa serta-merta.


Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengusaha premis perniagaan terlibat bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.


“Semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan juga diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo bagi tujuan pendaftaran pergerakan dan semakan kendiri status risiko atau kesihatan,” katanya.


Sebelum ini, kerajaan negeri hanya membenarkan operasi perniagaan di Pahang bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa 10 Jun lalu.


Keputusan yang dibuat pada 22 Jun lalu bagaimanapun mengecualikan sektor seperti stesen minyak, klinik dan kilang yang dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen asal.


Wan Rosdy berkata kelab malam, pub dan disko masih tidak dibenarkan beroperasi, selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.


Bagi aktiviti dan acara keagamaan, sosial atau majlis rasmi seperti mesyuarat, perhimpunan dan latihan, Wan Rosdy berkata penganjuran program perlu mematuhi aspek kapasiti ruang dan jarakan sosial.



SUMBER – BERNAMA

Read more »

Friday, July 17, 2020

PAHANG MAHU CAPAI ZERO NON-COMPLIANCE MENJELANG 2020






KUANTAN: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, Kerajaan Negeri Pahang mengadakan operasi bersepadu(Ops Gempur)  melibatkan empat agensi utama iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) .


Katanya, operasi itu diadakan serentak di seluruh negara dengan negeri Pahang turut komited melaksananya di beberapa daerah lain termasuklah Temerloh, Rompin, Cameron Highlands dan Kuantan.Kerajaan Negeri Pahang menerusi agensinya komited mengekalkan kelestarian negeri itu melalui perlaksanaan Operasi Bersepadu (Ops Gempur) bermula 14 Julai dan berakhir 16 Julai.

.
“Secara keseluruhannya kita telah mengeluarkan sebanyak 160 kompaun, 61 notis arahan manakala sebanyak tiga penahanan kelengkapan telah dibuat dan satu kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak mematuhi AIA,” katanya.


Beliau berharap menjelang 2021 semua premis di negeri Pahang dapat mencapai zero non-compliances menerusi usaha berterusan dari semua pihak


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Operasi Bersepadu (Ops Gempur) Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang di Kompleks Mahkamah Kuantan, di sini.


Hadir sama ialah Pengarah JAS Negeri Pahang, En. Mohd Sani Mat Daud, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, DSP Ajit Singh Khale Dial Singh, Pengarah SWCorp Negeri Pahang, En. Sharudin Hamid dan Timbalan Pengarah Jabatan Perlesenan MPK, En. Izzat Zainal Muhammad Safian.


Menurutnya, operasi terbabit telah memeriksa sebanyak 36 premis/industri dan hampir 70 peratus premis/industri terbabit didapati melakukan pelbagai kesalahan dan melanggar peruntukan perundangan serta dikenakan tindakan perundangan di bawah AKAS 1974.


“Kita berharap operasi seumpama ini akan membuka mata orang ramai khususnya penggiat industri dan pengusaha premis terhadap tanggungjawab mereka bersama dalam melestarikan negeri ini,” katanya.



Read more »

Thursday, July 16, 2020

TANJUNG GEMOK AKAN DIBANGUNKAN SEBAGAI RANCANGAN KAWASAN KHAS



ROMPIN, 16 JULAI 2020 : Kerajaan Negeri akan membangunkan kawasan Tanjung Gemok sebagai Rancangan Kawasan Khas (RKK) untuk dijadikan hub pelancongan dan pusat perkhidmatan.


Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata RKK Tanjung Gemok merupakan rancangan pemajuan berkepentingan khusus sebagai pembolehubah kepada sektor pelancongan, ekonomi dan aktiviti maritim.


Beliau berkata RKK Tanjung Gemok ini juga merupakan rancangan bagi saling melengkapi RKK Gugusan Pulau Tioman yang kini berada di peringkat akhir penyediaan.


“Kedudukannya ditengah laluan utama antara Johor Baharu dan Kuantan menjadikan Tanjung Gemok semakin berpotensi untuk dikunjungi oleh lebih ramai pengunjung sekiranya peranannya sebagai hub transit pelancongan dapat diperkukuhkan.


“Keadaan ini disokong dengan lokasi-lokasi tumpuan yang lain seperti Entry Point ke Pulau Tioman, Gateway ke Taman Negara Endau Rompin, dan ke Kuala Rompin dan Kuantan,” katanya.


 Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Daerah Rompin, hari ini.


Turut hadir Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBhg. Dato TPr. Mohd. Anuar Maidin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abdul Rahim Muda; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin; Pengerusi Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Haji Hussain; Pengarah PLANMalaysia Pahang, Puan Harizah Dato’ Haji Hassan; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek.


Beliau berkata kedudukan Tanjung Gemok yang berada di pinggir sungai dan pantai perlu diperkukuhkan potensinya bagi memberi manfaat dan imej yang baik kepada negeri ini.


“Peranan Tanjung Gemok juga sebagai penyokong kepada Kuala Rompin yang merupakan pusat pembangunan utama yang berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan di pesisian pantai.


“Secara amnya, Tanjung Gemok berada di lokasi yang strategik dengan lokasi pinggir sungai dan pantai yang menarik sebagai imej pintu masuk utama ke negeri Pahang, maka, potensi ini perlu dioptimumkan dan diperkukuhkan supaya dapat memberi manfaat dan impak positif serta membentuk imej yang baik,” katanya.


Beliau berkata program publisiti bagi RKK Tanjung Gemok ini akan berjalan selama empat minggu sehingga 31 Julai ini bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan pandangan dan cadangan bagi draf RKK ini.


 Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.


“Saya menyeru kepada pihak-pihak yang berkepentingan dan sesiapa sahaja yang ingin memberi pandangan dan cadangan terhadap draf RKK supaya mengemukakan pandangan dan cadangan kepada Majlis Daerah Rompin untuk diambil tindakan selanjutnya oleh pasukan petugas,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBhg. Dato TPr. Mohd. Anuar Maidin berkata RKK Tanjung Gemok merupakan RKK ketiga yang disediakan oleh PLANMalaysia iaitu selepas RKK Tasik Bera dan RKK Gugusan Pulau Tioman.


Tambah beliau lagi, sebanyak 122 cadangan keseluruhan projek mengikut keutamaan telah disenaraikan di dalam draf RKK Tanjung Gemok ini.


“Daripada jumlah tersebut (122), sebanyak 40 cadangan projek berbentuk ‘quick win’ untuk pelaksanaan segera yang dijangka akan memberi impak kepada pembangunan Tanjung Gemok untuk tempoh perancangan tahun 2020 dan 2021 telah dicadangkan,” katanya



SUMBER . – PAHANGMEDIA

Read more »

PKR PERAK BIADAP, KURANG ADAB




KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menempelak PKR Perak yang biadap terhadap kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib.


Ini kerana katanya, ketika mana jenazah Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu masih belum lagi disempurnakan pengebumiannya tetapi Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sudah mengumumkan partinya akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) kerusi DUN Slim.


“Jenazah belum kebumi lagi, dah umum akan bertanding PRK.


“Melampau PKR/PH ni, tidak sensitif terhadap Datin dan anak-anak Allahyarham Datuk Khusairi,” kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu dalam satu hantaran di Facebook sambil meninggalkan tanda pagar #biadap #pernahlalui.


Dilaporkan semalam, sebaik sahaja negara mendapat perkhabaran Mohd Khusairi meninggal dunia, Farhash di dalam satu kenyataannya di Facebook turut berkata PKR Perak akan meletakkan seorang calon dari parti itu bagi bertanding di kerusi DUN tersebut.


Terdahulu, dalam platform media sosial yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan persoalan adakah sudah terhakis politik kemanusiaan dalam diri Setiausaha Politik Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.


“Jenazah arwah Datuk Khusairi masih belumpun diselenggara dan dikembumikan, tetapi Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR ini terus membicarakan soal calon pilihan raya kecil DUN Slim.


“Apakah sudah terhakis politik kemanusian sehingga tiada langsung sekelumit perasaan ihsan dan simpati kepada keluarga Arwah yang masih bersedih atas berita kematian mengejut Datuk Khusairi petang kelmarin? Soalnya, dengan meletakkan tanda pagar #HilangnyaPolitikKemanusiaan.


Begitu dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berkata PKR Perak sebagai kurang adab.


“Jenazah pun belum dikebumikan. Tiada hormat langsung kepada arwah Datuk Khusairi.


“Tiada hormat langsung kepada keluarga. Tiada hormat langsung kepada penduduk Slim.


“Kurang adab,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.


Mohd Khusairi, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang semalam.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.


Mohd Khusairi, menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004 dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.


Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang, Slim River, Perak pada jam 9.20 pagi tadi selepas disembahyangkan di Masjid Masjid Al Rahmaniah Felda Sungai Behrang kira-kira jam 8.30 pagi yang diimamkan oleh anak sulungnya, Mohd Amirul Khamil, 30.


Malam tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menziarahi Allahyarham di Pusat Forensik Hospital Bentong, Pahang dan mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin UMNO dan lain-lain, sebelum dibawa pulang ke kediaman ibunya di Felda Sungai Behrang.



SUMBER  – UMNO ONLINE

Read more »

MANGSA BANJIR DI LIPIS CECAH 400 ORANG




KUANTAN, 15 JULAI 2020 – Mangsa banjir di Daerah Lipis terus mencatatkan peningkatan sehingga 400 orang daripada 104 keluarga.


Keadaan ini menyebabkan sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa banjir yang terlibat.


Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 10.37 pagi tadi, kesemua mangsa telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah dan Balora Aur Gading.


Difahamkan kejadian banjir berlaku susulan hujan lebat yang bermula sejak beberapa lalu dan pihak berkuasa telah memindahkan kesemua penduduk kampung terlibat ke PPS berdekatan.


Kesemua penduduk terlibat banjir juga telah memberi bantuan bekalan makanan basah, selimut, bantal dan keperluan lain yang turut dibantu pihak pengurusan komuniti kampung.


Semalam menerusi laman Facebook Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long berkata, banjir ini berpunca daripada limpahan air Sungai Berhamah dan Sungai Merapoh ke Sungai Tanum ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.



SUMBER – PAHANGMEDIA
 Keadaan banjir di Lipis (Gambar ihsan bomba).

Read more »

share2