KUALA LUMPUR, 15 Jun – Polemik caj Tenaga Nasional Berhad
(TNB) telah menimbulkan keresahan rakyat ekoran nilai bayaran yang dianggap
terlalu tinggi daripada kebiasaan.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan
menyarankan pihak berwajib dapat memberikan diskaun secara pukal tanpa formula
pengiraan yang rumit berdasarkan kepada bacaan bil terkini sebagai inisiatif
kerajaan dalam membantu rakyat untuk jangka masa pendek.
“Kami juga menyarankan supaya pihak TNB melakukan penerangan
secara terus menerus berkenaan pengiraan bil elektrik pengguna supaya tidak
timbul kekeliruan di kalangan mereka. Sebarang aduan yang dibuat oleh pengguna
perlu diteliti sebaik mungkin untuk mengelakkan pengguna daripada rasa tertipu
dan diabaikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau juga yakin bahawa pihak terlibat khususnya
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengambil maklum berkaitan hal tersebut dan
mempunyai kebijaksanaan dalam mencari solusi bagi menyelesaikan isu ini.
“Dalam hal ini, kami juga amat menghargai tindakan Pengerusi
TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr
Shamsul Anuar Nasarah yang proaktif terhadap keluhan rakyat.
“Idea asal pemberian diskaun mengikut jumlah penggunaan
bulanan tersebut dilihat betul pada konsepnya tetapi realiti pelaksanaan
mungkin kurang sesuai dalam senario jangka pendek ini.
“Ini kerana sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang dilaksana ekoran penularan COVID-19, masa rakyat
sepenuhnya adalah berada di rumah yang tentunya memberi kesan langsung kepada
penggunaan elektrik – termasuk dari kalangan B40 dan M40.”
Ujarnya, tindakan rakyat yang mematuhi arahan Kerajaan untuk
duduk di rumah bagi menghapuskan rantaian COVID-19 menjadi punca kepada mengapa
penggunaan elektrik di kalangan isi rumah (pengguna domestik) meningkat lebih
tinggi daripada kebiasaan.
“Apabila bacaan sebenar dibuat oleh pihak TNB, jumlah bil
yang dikenakan menjadi lebih tinggi daripada pengunaan biasa sebelum PKP yang
mendatangkan keresahan pengguna lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang
mencabar dan tidak menentu ini.”
Dalam masa yang sama, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda
UMNO Malaysia mengalu-alukan bayaran pelan mudah yang dibuat oleh TNB bagi
memastikan kemampuan rakyat untuk membayar bil elektrik rakyat bersesuaian
dengan keadaan semasa hari ini.
SUMBER – UMNO Online
0 comments:
Post a Comment