KUALA LUMPUR, 11 Mei – Tidak seperti tahun-tahun sebelum
ini, Hari UMNO ke-74 disambut dalam norma yang baru di mana tiada majlis
keraian yang dibuat memandangkan negara sedang berhadapan dengan pandemik
COVID-19.
Ulang tahun UMNO ke-74 kali ini, disambut dengan simbolik di
mana upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa telah disempurnakan oleh
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan hanya diiringi oleh
setiausaha sayap dan ketua jabatan Ibu Pejabat UMNO.
Selain itu, kelainan lain yang dibawa juga adalah di mana
Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersiaran secara langsung
dengan semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri melalui ‘Webex’.
Siaran secara langsung ini sedang berlangsung sekarang dan
ia boleh ditonton di laman facebook UMNO-ONLINE.
Jika sebelum ini, setiap kali ulang tahun UMNO, akan ada
anugerah tokoh terbilang tetapi kali ini ianya akan diberikan kepada 16 jabatan
‘fronliner’ yang terpilih bagi menghargai pengorbanan mereka ini dalam
berhadapan pandemik COVID-19.
Walaupun hari UMNO kali ini mencatatkan sejarah tersendiri
dalam cara meraikannya tetapi di setiap jiwa ahli UMNO, inilah parti yang telah
banyak menabur jasa dan akan terus diperkasakan seterusnya mencapai kemenangan
dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Sementara itu, Presiden UMNO dalam perutusannya berkata,
UMNO masih berdiri megah untuk bangsa, agama dan negara. Pada usia 74 tahun,
parti ini bukan lagi eksklusif untuk Melayu tetapi turut memayungi bangsa lain
ke arah satu aspirasi nasional.
“Pada era COVID-19 ini kita dibatasi oleh peraturan yang
melindungi rakyat. Mesyuarat bahagian dan cawangan terpaksa ditunda. Semua
bahagian sibuk membantu rakyat pada masa sekarang. Ini semua membuktikan betapa
UMNO sentiasa prihatin rakyat.”
Ahmad Zahid turut menggesa agar menghentikan segera politik
peribadi yang ternyata hampir membuat UMNO tempang selepas PRU-14.
“Kini kita ada Muafakat Nasional. Murnikan dan buktikan lagi
seperti mana dalam lima pilihanraya kecil lalu. Kita boleh melangkah lebih jauh
dan lebih mudah jika iltizam dan semangat kita kuat.
“Ini bukannya masa untuk kita duduk bertimpuh dan bertatih
lagi. Kita mesti sedia dalam semua hal, termasuk barisan pemimpin masa depan.
Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geo-politik negara, kitalah yang
mencorakkannya.
“Sempena ulang tahun ke-74 UMNO, saya merayu agar semua ahli
menggenggam erat keris perjuangan parti, hentikan tabiat ‘api dalam sekam’ dan
semarakkan semula semangat sejarah penubuhannya,” ujar beliau.
SUMBER – UMNO ONLINE
0 comments:
Post a Comment